
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memberi kelonggaran kepada FELDA Global Ventures Holdings (FGV) untuk terus mengoperasikan ladang mereka sepanjang tempoh remedi, bagi mengelakkan kerosakan hasil dan kerugian lebih besar.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil susulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menunjukkan komitmen serius untuk menyelesaikan urusan pemberimilikan tanah.
“Maka kerajaan negeri menyambut hasrat ini dengan syarat FELDA mesti mematuhi ketetapan dalam Peraturan Tanah Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri sebelum ini tidak berhasrat untuk menyita atau merampas ladang FGV sekiranya perbincangan mencapai persetujuan.
“Notis 425 KTN ialah untuk memaklumkan bahawa telah berlaku pendudukan tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
“Mereka yang menduduki tanah tersebut diberikan satu tempoh remedi untuk mengambil tindakan bagi memperbaiki keadaan serta mencari jalan penyelesaian dan melakukan tindakan pematuhan. Sekiranya tiada tindakan, barulah proses sitaan akan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara faktor yang mendorong kerajaan negeri mengeluarkan Notis 425 KTN disebabkan kegagalan penyelesaian secara rundingan, walaupun FELDA telah diberi tempoh yang mencukupi.
“Setakat ini, ladang FGV belum disita dan masih dalam tempoh remedi. Kini dalam fasa siri rundingan antara kerajaan negeri dan pengurusan tertinggi FELDA dan ada beberapa perkara disepakati secara dasar dan perkembangan rundingan adalah positif,” jelasnya.
Menjawab persoalan mengapa tidak dibawa kes berkenaan ke mahkamah, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri berkata, hasrat kerajaan negeri ialah untuk menuntut hak.
“Apabila perundingan boleh membawa kepada hasrat ini, maka tiada keperluan untuk ke mahkamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











