‘Bagi orang gila sahaja buat kerja gila’ – Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau tidak berminat melayan isu-isu yang tidak memberi faedah serta tiada kaitan dengan mana-mana pihak.

Isu berkaitan rumahtangga dan keluarga tegasnya, tidak perlu dijadikan isu ataupun ditular kepengetahuan umum.

- Advertisement -

“Bagi orang gila sahaja buat kerja tu, kita tak gila, jangan. Kita pun tak pernah cungkil hal-hal rumahtangga orang. Tak patutlah benda-benda begitu menjadi isu, ini dah tahun 2025,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berhubung kediaman baharunya yang cuba dijadikan isu oleh pihak tertentu, pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sementara berkaitan penolakan MCA untuk bersama Perikatan Nasional (PN) atas alasan tidak bersetuju dengan dasar serta idealogi PAS, bagi Sanusi, pihaknya tidak menghadapi apa-apa masalah.

“Itu adalah keputusan mereka dan kita tidak menghadapi apa-apa masalah. Lagipun, MCA tidak mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Di Parlimen pun, dua kerusi sahaja,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pada kenyataannya, menolak kemungkinan menyertai PN yang turut dinaungi parti PAS.

Penolakan itu juga dakwa beliau, kononnya, tindakan segelintir pemimpin PAS yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi dan menyinggung perasaan penganut agama lain menyebabkan parti bukan Islam tidak sehaluan dengan PN. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -