
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff menegaskan bahawa Belanjawan 2026 perlu memberi perhatian lebih besar terhadap pembangunan Kelantan, khususnya melibatkan isu asas rakyat serta keperluan ekonomi jangka panjang negeri.
Katanya, peruntukan kerajaan dilihat ‘tidak agresif’ dan hanya sekadar membayar ‘hutang pembangunan kecil’, sedangkan Kelantan memerlukan perhatian lebih mendalam.
“Saya melihat Belanjawan ini seolah-olah hanya membayar hutang pembangunan yang kecil,” kata beliau.
Antaranya disentunya isu Bekalan Air Bersih dan Sanitasi perlu diletakkan di bawah dana khas bersepadu dengan pengawasan ketat bagi mengelakkan kelewatan akibat birokrasi pelbagai agensi.
Selain itu, katanya, peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Golok juga tidak mengambil kira peningkatan kos bahan binaan semasa.
“Kita perlukan peruntukan yang bersifat pencegahan radikal, bukan sekadar pemulihan sementara,” ujarnya.
Menurutnya, tumpuan terhadap pembangunan ekonomi Kelantan sebagai Gerbang Timur ke Thailand dan Indochina juga masih lemah.
“Pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor memerlukan infrastruktur perdagangan yang lebih moden dan menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut menuntut peruntukan lebih besar bagi infrastruktur pengairan moden untuk sektor pertanian supaya Kelantan tidak kekal pada tahap pertanian sara diri.
Wan Martina turut menggesa kerajaan memberi perhatian segera terhadap pembangunan Tok Bali Supply Base (TBSB) sebagai pelabuhan nasional strategik.
“TBSB yang terletak bertentangan laluan perdagangan Laut China Selatan perlu dinaik taraf dengan peruntukan permulaan serta dibangunkan sebagai pelabuhan timur negara,” ujarnya.
Dalam aspek sosial, beliau menuntut peningkatan ketara peruntukan TVET bagi membolehkan Kelantan membina Pusat Kecemerlangan TVET berasaskan teknologi masa depan sebagai langkah mengelakkan fenomena penghijrahan bakat.
Katanya, peruntukan lebih jelas juga perlu disediakan untuk menambah pakar perubatan dan menaik taraf kemudahan kesihatan termasuk hospital daerah.
Mengenai isu bencana, katanya, Kerajaan Persekutuan perlu membangunkan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di setiap daerah berisiko banjir bagi mengelakkan gangguan pendidikan yang berpanjangan apabila PPS digunakan secara reaktif.
Beliau turut memberi perhatian kepada reformasi institusi apabila menyentuh ancaman terhadap undang-undang jenayah Syariah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra dan Nik Elin.
“Negara tidak lagi mempunyai pilihan selain mengambil langkah pembetulan di peringkat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menubuhkan Pejabat Bajet Parlimen (PBO) sebagai institusi bebas dan profesional untuk memperkukuh ketelusan belanjawan.
Katanya, cadangan pemansuhan jawatan Setiausaha Politik juga perlu dipertimbangkan kerana kedudukannya yang kabur dari sudut akauntabiliti dan membuka ruang penyalahgunaan kuasa.
“Saya berharap Dewan Negara dapat memastikan kuasa antara Persekutuan dan Negeri terus terpelihara, dan wang rakyat diurus dengan amanah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











