Usul gantung Takiyuddin agenda politik sempit

Khairul Nadzir Helmi Azhar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan usul penggantungan terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat sebagai tidak wajar dan menyimpang daripada proses sepatutnya.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar bahkan mempertahankan kenyataan dan tindakan Takiyuddin berhubung permintaan menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila.

Tegasnya, tindakan Takiyuddin meminta penjelasan adalah wajar dan merupakan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Rakyat, terutama selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberikan penjelasan yang dianggap jelas dan menyeluruh.

“Tindakan membawa usul penggantungan ini amat pelik dan bercanggah dengan sikap Senator Menteri sendiri pada 30 Oktober 2025 apabila beliau meminta semua Ahli Parlimen ‘move on’ jika berlaku apa-apa kekhilafan dalam isu tersebut.

“Jika benar semuanya sudah selesai, mengapa kini beliau menghidupkannya semula dengan tindakan yang begitu drastik?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, lebih mengecewakan apabila usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan itu dibawa tanpa melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, sekali gus mencabuli prinsip keadilan proses.

“Tindakan ini mencabul prinsip keadilan proses (‘due process’) dan mewujudkan persepsi bahawa usul ini lebih bermotif menghukum daripada mencari kebenaran atau keadilan,” tempelaknya.

Menurutnya lagi, persoalan turut timbul mengenai apakah kesalahan berat yang dilakukan Ahli Parlimen Kota Bharu sehingga wajar dikenakan hukuman sedemikian.

“Beliau hanya bertanya soalan, bukan menuduh, bukan memfitnah dan tidak pernah mengaitkan salah laku dengan mana-mana pegawai kerajaan atau anggota penguat kuasa.

“Tindakan menggantung kerana bertanya hanya menimbulkan persoalan, adakah ini suatu percubaan untuk menyekat Ahli Parlimen daripada bersuara?” soal beliau.

Pemuda PAS Malaysia, tegas Khairul Nadzir, turut mempersoalkan tindakan seorang Senator yang juga Menteri membawa usul menghukum seorang Ahli Dewan Rakyat yang dipilih rakyat.

“Walaupun ia mungkin sah dari sudut teknikal undang-undang, namun ia jelas melangkaui semangat dan adat urusan Dewan Rakyat (‘substantive ultra vires’) serta mencerminkan kecenderungan mencampuri autonomi Parlimen,” bidasnya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia menurut beliau, menggesa supaya dihentikan segera apa yang disifatkan sebagai percubaan memperalatkan Parlimen bagi tujuan politik sempit.

“Parlimen mesti kekal sebagai institusi yang menjunjung keadilan, integriti, kebebasan bersuara dan proses demokrasi, bukan menjadi medan untuk menekan dan membungkam suara wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat,” katanya.

Terbaharu, usul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan ditangguhkan selepas kerajaan memutuskan untuk melalui proses susulan sebelum membuat keputusan.

Penangguhan itu berlaku selepas bantahan kuat pembangkang dan beberapa orang Ahli Parlimen Kerajaan yang menegaskan bahawa hukuman berat tidak boleh dibuat tanpa siasatan dan proses Parlimen yang adil.

Keputusan tersebut dianggap penting bagi menjaga integriti Dewan Rakyat dan mengelakkan preseden politik yang tidak wajar. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -