
KUALA LUMPUR: Pertuduhan rasuah dikenakan terhadap bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei menimbulkan tanda tanya mengenai ketidakseragaman tindakan pendakwaan jika dibandingkan dengan kes profil tinggi sebelum ini.
Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, terdapat perbezaan ketara dalam kaedah pertuduhan yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutamanya apabila membandingkan kes ini dengan kes terowong dasar laut melibatkan Lim Guan Eng (LGE).
Beliau membangkitkan persoalan mengapa dalam kes LGE, individu yang memberi rasuah tidak dituduh, sebaliknya dijadikan saksi pendakwaan, sedangkan dalam kes Shamsul Iskandar, pemberi rasuah (Albert Tei) turut diheret ke mahkamah.
“Dalam kes LGE, beliau dituduh menerima suapan RM3.3 juta daripada Datuk Zarul Ahmad. Mengikut keterangan saksi, Datuk G Ganaraja membawa wang RM2 juta. Jelas bahawa Datuk Zarul dan Datuk G Ganaraja adalah yang ‘memberi’ suapan.
“Namun mereka tidak dituduh dan telah menjadi saksi pendakwaan. Tetapi dalam kes ini, Albert Tei dituduh di bawah Seksyen 17(b). Kenapa dalam kes LGE, pemberi rasuah tidak dituduh, walhal dalam kes Shamsul, Albert Tei juga dituduh?
“Dalam keadaan apakah pemberi rasuah akan dituduh juga?” soalnya turut mempertikaikan penggunaan seksyen akta yang berbeza.
Beliau menjelaskan, Shamsul Iskandar dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang menekankan peranan tertuduh sebagai seorang ‘Ejen’, manakala LGE dituduh di bawah Seksyen 16(a).
“Perbezaan yang saya dapat kenal pasti adalah menurut Seksyen 16, balasan suapan tersebut boleh dilakukan oleh ‘mana-mana orang’, tidak semestinya yang menerima suapan.
“Sedangkan menurut Seksyen 17, balasan suapan itu dilakukan oleh dirinya sendiri sebagai ejen kerajaan dalam hal ehwal prinsipalnya. Maka dapat difahami bahawa ‘ejen’ dalam Seksyen 17 merujuk kepada ejen kerajaan.
“LGE juga sepatutnya adalah ejen kerajaan (ketika kejadian), namun dia dituduh di bawah Seksyen 16, bukan 17. Jadi, apa kaedah yang digunakan oleh SPRM dalam memilih antara Seksyen 16 dan 17?” soalnya lagi.
Beliau turut memetik beberapa kes terdahulu melibatkan penjawat awam seperti anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hakim yang dituduh di bawah Seksyen 17 kerana bertindak sebagai ejen kerajaan.
Katanya, di mana pemberi suapan dalam kes-kes tersebut lazimnya menjadi saksi dan tidak dituduh, namun, pendekatan berbeza diambil dalam kes Albert Tei apabila SPRM memilih untuk mendakwa kedua-dua pemberi dan penerima.
“Tanda tanya yang timbul kepada saya adalah apakah kaedah yang digunakan oleh SPRM dalam membuat pertuduhan dan memilih seksyen? Mohon penjelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











