Terbitnya purnama di langit Kinabalu

- Advertisement -

KEMENANGAN satu-satunya calon PN daripada PAS, Datuk Dr Aliakbar Gulasan pada PRN-17 Sabah baru-baru ini telah mengimbaukan kepada kita mengenai sejarah kemenangan seorang calon PAS, di bumi Johor pada PRU-2004 iaitu Ramli Kari. Ramli telah memenangi kerusi DUN Senggarang setelah diumumkan menang tanpa bertanding pada PRU tersebut.

Di sebuah negeri yang dikatakan sebagai kubu kuat Umno suatu ketika dahulu, kemenangan mengejut Ramli itu telah mengejutkan ramai pihak yang sukar menjangka PAS buat julung kalinya berjaya meletakkan wakilnya dalam DUN Johor. Hal ini bagaikan suatu mimpi dan kenyataan yang sukar dipercayai biarpun kemenangan itu berdasarkan dan bersifat teknikal.

Jika ditelusuri dalam konteks sejarah politik Johor pasca PRU-11, selepas kemenangan Ramli, PAS terus kekal dan menambah bilangan kerusi DUN Johor. Kejayaan itu telah menjadi titik tolak bertapaknya PAS di negeri Johor pada pilihan raya – pilihan raya berikutnya. Berdasarkan keputusan PRU-2008, PAS telah berjaya memperoleh sebanyak 2 kerusi DUN disusuli kemudiannya pada PRU-2013 menjadi 4 kerusi DUN. Namun pada PRU-2018, pencapaian PAS di Johor agak merosot kepada 1 kerusi.

- Advertisement -

Situasi ini mungkin didorong akibat faktor berlakunya perpecahan dalaman PAS pada tahun 2015 dengan kemunculan Parti PAN. Seandainya perpecahan ini tidak berlaku, berkemungkinan jumlah kerusi PAS akan kekal atau bertambah. Sementara pada PRU-2022, PAS berjaya memperolehi satu kerusi di DUN Maharani sebagai penerusan perjuangan sekali gus berusaha untuk kebangkitan pusingan kedua.

Selang hampir 2 dekad selepas itu kejayaan Ramli itu, hal yg sama terjadi di bumi negeri di bawah bayu pula apabila seorang lagi calon PAS membuat penampilan dan memperolehi kejayaan menjadi ADUN PAS pertama di Sabah. Perkembangan ini sekali gus telah mengejutkan dunia politik tanah air lantaran faktor geo-politik yang dilihat agak sukar memberi kelebihan kepada PAS.

Kejayaan Ramli dan Datuk Dr Aliakhbar menjadi pintu gerbang kepada parti yang berusia hampir tiga suku abad ini untuk terus melebarkan sayap kuasa dan pengaruhnya di kedua negeri itu. Tidak mustahil dan kemungkinan besar situasi yang sama di Johor boleh juga berlaku di Sabah ini. Biarpun dari segi sejarah, PAS telah lama bertapak di negeri ini iaitu sejak lebih daripada tiga dekad yang lalu. Namun, berkat kesabaran dan istiqamah dalam perjuangan, usaha PAS kini menampakkan hasilnya kini.

Menyongsong kepada PRN-18 Sabah nanti (4 atau 5 tahun dari sekarang), berkemungkinan besar akan menyajikan satu lagi peluang buat PAS sama ada mengekalkan kerusi yang dimenangi ini atau menambahkan bilangan kerusi yang baharu. Sesungguhnya potensi untuk PAS terus berjaya itu sudah pasti ada dengan syarat;

Pertama, bakal calon atau ADUN bayangan yang bakal diketengahkan PAS perlulah sentiasa menjalankan kerja dan khidmat bakti di kawasan yang ingin ditandingi mulai dari sekarang sebagimana yang dilakukan Datuk Dr Aliakhbar sebelum ini ketika beliau dilantik sebagai ADUN lantikan. Melalui kerja-kerja amal dan khidmat bakti masyarakat itu akan merapatkan bakal calon dengan lebih erat lagi dengan penduduk setempat.

Kedua, PAS perlu memantap dan mempergandakan lagi kekuatan jenteranya di peringkat akar umbi. Pertambahan bilangan ahli adalah menjadi pra-syarat wajib lebih-lebih lagi dari kalangan orang muda. Dengan sokongan generasi pelapis yang setiap hari semakin bertambah, kekuatan jentera PAS pastinya akan dapat diperkukuhkan lagi.

Ketiga, PAS perlu menghilangkan persepsi dan tanggapan salah di kalangan rakyat Sabah bahawa parti itu bukanlah parti yang bersifat parti Semenanjung sebaliknya merupakan parti yang juga dapat membawa dan memperjuangkan suara dan hak rakyat Sabah. Justeru, pimpinan utama PAS termasuk juga kalangan Ahli Parlimen PAS yang daripada Semenanjung ketika ini perlu juga berperanan mengangkat suara yang memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sarawak. Sekalipun pimpinan dan Ahli Parlimen ini bukanlah berasal dari kedua negeri di Pulau Borneo itu namun seandainya mereka mampu membawa suara rakyat di kedua negeri itu di peringkat Persekutuan, sudah pasti usaha serta jasa mereka akan diiktiraf dan dihargai masyarakat negeri tersebut.

Keempat, perlu juga disingkirkan perasaan takut dan pandangan negatif khususnya dari kalangan etnik bukan Islam di Sabah terhadap PAS. Pemimpin dan calon PAS perlu bijak menyesuaikan diri baik dari segi imej, pergaulan, komunikasi dan pengetahuan agar tampak lebih senang didekati oleh masyarakat baik yang beragama Islam bahkan juga yang bukan Islam.

Kelima, kerjasama dan jalinan gabungan dengan parti-parti tempatan yang dapat menerima kehadiran PAS di negeri di bawah bayu itu adalah merupakan satu bonus dan kelebihan seandainya perkara ini dapat direalisasikan secara menyeluruh dan kukuh. Melalui kerjasama dan saling persefahaman itu, banyak manfaat boleh diperolehi baik dari segi perkongsian penyokong atau pengundi, kerjasama jentera, pertukaran maklumat pintar dan sebagainya.

Semoga sinaran purnama yang julung kalinya muncul dan menerangi langit Kinabalu pasca PRN-17 Sabah baru-baru ini akan membawa cahaya kecerahan seterusnya buat PAS untuk terus mengorak langkah perjuangan di tanah Borneo Utara ini sebagaimana yang berlaku di Johor dan negeri-negeri lain sebelum ini. Keiltizaman, kesabaran dan istiqamah para pimpinan, ahli serta penyokong PAS dalam perjuangan yang panjang ini pastinya akan membuahkan hasil akhirnya nanti, insya-Allah.

ZUWAIRI ZAKWA
Calon pelajar PhD tahun akhir
Pemerhati politik bebas – HARAKAHDAILY 5/12/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -