
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bersedia tampil memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri bagi menjawab persoalan yang timbul berhubung isu ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FELDA Global Ventures (FGV) di Terengganu.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, Dato’ Dr Azman Ibrahim yang berkata, beliau sendiri bersedia tampil memberikan taklimat berkenaan.
Menurut laporan media, isu berkenaan dijadual dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Azman berharap, perbincangan Jemaah Menteri itu dibuat secara menyeluruh dengan meneliti setiap data dan fakta serta memahami kronologi yang berlaku.
“Jemaah Menteri jangan hanya meneliti pembentangan sebelah pihak dari FELDA sahaja. Jauhi sentimen dan unsur sempit politik kepartian.
“Hormati bidang kuasa semua pihak dan letakkan motif perbincangan untuk menegakkan keadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri berkata, kerajaan negeri, sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang.
Malah katanya, dalam amalan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri, pihak ketiga biasanya dijemput hadir memberikan taklimat jika terdapat isu berbangkit.
“Maka jika diperlukan untuk saya tampil memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri bagi menjawab persoalan-persoalan yang timbul, tentu sekali saya bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu pada 29 November 2025, kerajaan negeri memulakan operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negeri selepas rundingan 40 hari yang dipersetujui bersama dengan FELDA berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
Operasi itu melibatkan penyerahan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada Felda dan FGV atas dakwaan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Tindakan itu dibuat serentak di 10 ladang FGV membabitkan kawasan seluas 15,000 hektar merangkumi 127 lot tanah di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











