Kenapa Anwar, Azam Baki tidak dipanggil?

- Advertisement -

​KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak memanggil dua nama besar lain untuk disiasat, walaupun nama mereka turut dipetik oleh saksi utama kes rasuah berprofil tinggi.

- Advertisement -

​Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan dua individu iaitu bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (dan ahli perniagaan, Albert Tei akan didakwa di mahkamah.

​Menurut Rafique, apa yang menarik perhatian adalah pengesahan bahawa wanita yang dikenali sebagai ‘Sofia’, yang tular dalam rakaman video pendedahan baru-baru ini, akan dijadikan saksi pendakwaan atau ‘crown witness’.

​“Kalau Sofia ini dijadikan saksi, sudah tentu SPRM serta Jabatan Peguam Negara (AGC) percaya keterangan beliau dalam video tular tersebut adalah benar sehingga membolehkan pertuduhan dibuat ke atas Shamsul Iskandar dan Albert Tei.

​“Maka rakyat Malaysia sekarang bertanya, bagaimana pula dengan dua lagi nama yang telah dinyatakan oleh wanita ini dalam siri rakaman itu?

​“Mengapa Azam Baki sendiri dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak dipanggil untuk siasatan atau dirakam percakapan? Adakah kertas siasatan dibuka atas nama mereka berdua?” soalnya.

​Beliau menegaskan, jika benar prinsip ‘no one is above the law’ (tiada siapa mengatasi undang-undang) dipegang teguh seperti yang dilaungkan oleh Azam Baki, siasatan sepatutnya dijalankan secara adil terhadap semua nama yang disebut tanpa mengira pangkat.

​Beliau turut mengucapkan ‘tahniah’ secara sinis kepada SPRM kerana berjaya melengkapkan siasatan dalam tempoh singkat selama seminggu.

​“Lazimnya AGC guna kaedah 90/10. Kalau ada 90 peratus peluang dapatkan sabitan dari fakta kes, cadangan adalah untuk tuduh.

​“Namun, jika keterangan Sofia menjadi kunci pendakwaan, mengapa dua nama lagi ‘terlepas’? Undang-undang mesti sama pada semua, sama ada anda Setiausaha Politik, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Perdana Menteri mahupun ahli perniagaan.

​“Inikan kerajaan yang kononnya paling ulung lawan rasuah dan sakau,” sindirnya lagi.

​Terdahulu, media melaporkan dua individu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan rasuah, susulan siasatan yang dilengkapkan SPRM. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -