
ARAU: Bencana banjir yang melanda Perlis pada hujung November lalu terus meninggalkan kesan kepada operasi air negeri apabila beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan dan tekanan rendah.
Sehubungan itu, Syarikat Air Perlis (SAP) kini mempergiat usaha pemulihan secara besar-besaran bagi memastikan loji kembali beroperasi sepenuhnya.
Menurut kenyataan Urus Setia Penerangan Negeri Perlis, SAP telah menggerakkan 22 lori tangki air yang beroperasi mengikut jadual bagi memastikan bekalan air bersih tetap sampai kepada penduduk terjejas.

“Setakat ini, penghantaran air bersih telah dibuat ke beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Jernih, Lubuk Machang, Masjid Wang Kelian, SK Pauh, Batu Bertangkup, Jabatan Kaji Cuaca, Panggas, Belukar Lenga dan Kampung Tengah Ulu Pauh.
“Juga, ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sekolah-sekolah dan kediaman pengguna yang mengalami gangguan,” ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, SAP memaklumkan pemulihan sedang dijalankan sepenuhnya selepas banjir menjejaskan sistem elektrikal di Loji Rawatan Air Arau (LRA).
“Kerja pembaikan melibatkan proses intensif termasuk penyelenggaraan dan pembaikan transformer, baik pulih switchgear, Variable Speed Drive (VSD) inverter, serta pemeriksaan menyeluruh terhadap pam utama yang ditenggelami air,” katanya
Sementara Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim ketika ditemui kelmarin, berkata beliau telah turun meninjau keadaan loji untuk melihat secara langsung punca gangguan bekalan air.

“Saya telah melawat loji air hari ini untuk melihat sendiri masalah gangguan bekalan air.
Saya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini segera. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa banjir telah menyebabkan loji 1 dan 2 tenggelam sepenuhnya, menenggelamkan pam-pam utama yang saling berkaitan dengan keseluruhan sistem.
“Pam-pam ini yang tenggelam, ada empat loji, (dan) keempat-empat ini bersangkut paut. Bila Kedua-dua (loji 1 dan 2) ini tak boleh beroperasi, loji 3 dan 4 tak dapat support (menyokong) penuh. Maknya, bekalan air kita boleh salur (kepada penduduk) dalam 35 hingga 40 peratus sahaja,” jelasnya.
Tambah Izizam, kerja baik pulih sedang berjalan dan dijangka selesai pada tengah malam dan penghantaran air berjadual akan diteruskan sehingga loji pulih sepenuhnya.
“Hari ni (kelmarin) kita baik pulih dan tengah malam boleh selesai pembaikan pam air. Tapi kena bersihkan semua kotoran dalam tangki air dulu sebelum kita boleh ‘supply’ air kepada pengguna, dan kita perlu ‘run test’ juga,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk agar bersabar sementara proses pemulihan giat dijalankan dan SAP optimis loji akan kembali beroperasi seperti biasa selepas semua sistem kritikal dipastikan selamat dan stabil. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











