
KUALA TERENGGANU: Isu notis dan tindakan Terengganu terhadap ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Bhd (FGV) di negeri itu terus menjadi bualan hangat, dengan pelbagai spekulasi kononnya kerajaan negeri bersikap zalim terhadap peneroka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, isu tersebut bukan pertembungan antara kerajaan negeri dengan peneroka, sebaliknya ia adalah tuntutan hak rakyat Terengganu terhadap tanah negeri yang diusahakan oleh syarikat korporat.
“Mari kita luruskan fakta. Ini bukan pertembungan antara kerajaan negeri dengan peneroka. Ini pertembungan antara hak rakyat Terengganu dengan syarikat konglomerat dan struktur korporat yang sudah terlalu lama memerah hasil tanah negeri tanpa menyelesaikan tanggungjawab kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hakikat yang ramai orang mula sedar ialah kira-kira 15,000 hektar tanah di Terengganu diusahakan sebagai ladang komersial FELDA dan FGV sejak lebih 40 tahun.
Beliau menegaskan, tanah itu tanah milik kerajaan negeri, bukan tanah yang diberi geran hak milik kepada FELDA.
“Bila tanah tak bergeran kepada FELDA, premium dan cukai tanah kepada negeri pun tidak berjalan seperti sepatutnya. Anggaran kerugian hasil kepada negeri mencecah ratusan juta ringgit.
“Bayangkan, lebih empat dekad tanah negeri diusahakan, tapi negeri tidak mendapat hasil yang setimpal. Siapa yang rugi? Rakyat Terengganu,” tegas Fakhruddin.
Beliau menyatakan, ketika kerajaan negeri menyentuh isu royalti minyak yang tidak disalurkan sepenuhnya, kini timbul pula isu tanah negeri yang diusahakan tanpa pulangan adil kepada negeri.
“Ini bukan benda kecil. Ini soal maruah dan kedaulatan ekonomi negeri,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri telah membuat rundingan berbulan-bulan dengan pihak FELDA, termasuk cadangan perkongsian hasil, tetapi tiada penyelesaian konkrit dikemukakan.
“Ada yang cuba gambarkan kerajaan negeri bertindak melulu. Itu tidak benar. Kerajaan negeri telah buat rundingan berbulan-bulan dengan pihak FELDA.
“Dibentangkan model perkongsian hasil, antaranya cadangan peratusan tertentu daripada keuntungan ladang dikembalikan kepada negeri. Diberi tempoh, diberi ruang,” ujarnya.
Namun menurut Fakhruddin lagi, sehingga tamat tempoh yang dipersetujui tiada penyelesaian konkrit dikemukakan oleh pihak mereka.
“Bila rundingan tidak dihormati, kerajaan negeri tiada pilihan selain menggunakan saluran undang-undang yang memang diperuntukkan termasuk notis di bawah Kanun Tanah Negara.
“Bukan kerana kerajaan negeri gila kuasa. Bukan kerana mahu bermusuh dengan sesiapa. Tetapi kerana amanah menjaga tanah negeri dan hak rakyat Terengganu,” hujahnya.
Fakhruddin berkata, tindakan kerajaan negeri hanya menyasarkan struktur korporat dan pengurusan FELDA, bukan menindas peneroka.
“Kita kena jelas tanah yang terlibat adalah ladang komersial FELDA di atas tanah kerajaan negeri. Ia bukan kebun milik individu peneroka dan bukan tapak rumah peneroka yang pegang geran masing-masing.
“Malangnya, ada pihak yang cuba sembunyi di belakang peneroka setiap kali isu FELDA dipersoal. Bila sebut FELDA, terus dimainkan seolah-olah, kalau sentuh Felda, maknanya sentuh peneroka. Tidak!
“Apa yang disentuh sekarang ialah akauntabiliti FELDA dan FGV sebagai entiti korporat, bukan kebajikan peneroka FELDA yang berpuluh-puluh tahun berpeluh keringat di ladang,” katanya.
Beliau mendedahkan juga bahawa FELDA mempunyai pelbagai isu lain yang belum diselesaikan dengan peneroka, termasuk hutang lama, isu tanam semula, rumah generasi kedua dan ketiga, serta projek perumahan dan kemudahan yang terbengkalai.
“Kalau kita buka cerita FELDA secara jujur, lebih ramai akan nampak isu hutang peneroka yang bertahun-tahun ‘menjerut leher’, isu tanam semula yang kadang-kadang berat sebelah, berlapis-lapis kos yang peneroka sendiri tak faham,” ujarnya lagi.
“Isu rumah generasi kedua dan ketiga FELDA yang lambat, syarat rumit, janji banyak tetapi pelaksanaan lembap. Isu projek perumahan, kilang, dan kemudahan yang sebahagiannya terbengkalai atau tidak seindah yang diikrarkan.
“Maksudnya apa? FELDA bukan malaikat yang tak boleh disentuh,” katanya.
Selain isu dengan kerajaan negeri, Fakhruddin menyatakan, FELDA juga ada rekod isu dengan peneroka sendiri.
“Bila kerajaan negeri bangkit soal tanah negeri yang tidak dibayar premium dan cukai, itu sebenarnya selari dengan suara ramai, cukup-cukuplah FELDA dan kroni korporat jadikan negeri dan peneroka sebagai ‘lombong’ tanpa kawalan,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri sentiasa sehaluan dengan peneroka.
“Kerajaan Negeri Terengganu konsisten bercakap soal hak rakyat dan tanah negeri bukan hanya bila dekat pilihan raya. Berjuang bersama peneroka, bukan menyisihkan mereka.
Menurut Fakhruddin, antara langkah yang sudah dan sedang diusahakan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu tanah yang berlarutan puluhan tahun.
Ia juga, ujar beliau, termasuk memproses dan menyerahkan geran tanah kepada sebahagian peneroka dan keluarga FELDA di Terengganu mengikut keutamaan dan kelayakan.
“Mengangkat suara peneroka serta generasi kedua/ketiga FELDA dalam pelan pembangunan negeri termasuk akses kemudahan, pendidikan dan peluang ekonomi.
“Maknanya, peneroka bukan musuh kerajaan negeri. Peneroka adalah sebahagian daripada rakyat Terengganu yang sedang kerajaan negeri bela.
“Kalau kerajaan negeri biarkan sahaja isu tanah ini, siapa yang rugi dalam jangka panjang? Rakyat Terengganu juga. Termasuk anak cucu peneroka yang membesar di bumi yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, Fakhruddin menasihatkan peneroka dan rakyat Terengganu agar tidak terpedaya dengan naratif yang cuba mengadu-domba antara peneroka dan kerajaan negeri.
“Kepada sahabat-sahabat peneroka, anak-anak FELDA dan rakyat Terengganu jangan panik. Isu ini tidak berkait dengan tanah rumah dan kebun peneroka yang sah.
Beliau menyeru rakyat agar jangan terpedaya dengan naratif yang cuba mengadu domba antara peneroka dengan kerajaan negeri.
“Ini bukan ‘perang’ dengan peneroka. Ini tuntutan supaya syarikat gergasi hormat undang-undang tanah negeri dan bayar apa yang sepatutnya kepada rakyat Terengganu,” tegas Fakhruddin.
“Kerajaan Negeri Terengganu berdiri di belakang rakyat dan peneroka. Kalau FELDA dan FGV benar-benar menghormati peneroka dan rakyat negeri ini, buktikan di meja rundingan, buktikan dalam angka, buktikan dalam perjanjian yang adil.
“Bumi ini bumi Terengganu. Hasilnya wajib kembali kepada rakyat Terengganu. Itulah garis yang kerajaan negeri pertahankan dengan tenang, tegas dan penuh amanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











