
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari menafikan tuduhan segelintir pihak yang menyifatkan kenyataannya berhubung undang-undang berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai bercanggah dengan pendirian beliau pada tahun 2021.
Beliau menegaskan, tiada percanggahan di antara kenyataan dahulu yang menyebut ‘undang-undang sedia ada mencukupi’ dengan kenyataan terbaharu beliau yang mendesak pindaan dilakukan terhadap akta tersebut.
Menurutnya, kedua-dua kenyataan itu adalah berasas kerana undang-undang sedia ada memang wujud dan boleh dikuatkuasakan segera, namun pada masa yang sama, penambahbaikan atau pindaan perlu dilakukan bagi menutup kelompangan perundangan.
“Saya melihat komen netizen membandingkan kenyataan saya tahun 2021 dengan kenyataan media semalam. Apa yang bercanggahnya? Dua-dua itu betul.
“Undang-undang memang sudah sedia ada. Kalau sekiranya kerajaan hendak dakwa kumpulan yang ditangkap dalam serbuan spa itu, banyak lagi ruang undang-undang yang boleh diguna pakai selain Seksyen 377A atau 377B Kanun Keseksaan.
“Sebagai contoh, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 377D iaitu kelucahan melampau. Mengikut kenyataan polis, sewaktu serbuan ada yang tidak berpakaian lengkap dan dijumpai pelbagai alatan tidak senonoh. Ini membolehkan pendakwaan dibuat di bawah seksyen tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan terhadapnya umpama ‘pusing cakap’ apabila pada 2021 menyatakan undang-undang mencukupi, tetapi kini menyatakan undang-undang sedia ada ketinggalan zaman.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk menjelaskan bahawa istilah ‘pra-merdeka’ yang digunakannya merujuk kepada kekangan teknikal dalam Seksyen 377A yang memerlukan pembuktian penetrasi dan kewujudan mangsa.
Beliau menjelaskan bahawa dalam kes pesta songsang yang dilakukan secara suka sama suka, sukar untuk mencari individu yang mengaku sebagai mangsa, justeru pindaan diperlukan untuk memasukkan elemen ‘niat’ bagi memudahkan pendakwaan masa hadapan.
“Siapa dalam kalangan mereka yang sudah sepakat pergi ke tempat itu (pusat spa dan kesihatan gay) untuk mengaku bahawa dia mangsa? Sudah pasti mustahil dari segi pelaksanaan.
“Sebab itu saya kata perlu pindaan fasa demi fasa. Namun, sementara menunggu pindaan itu, janganlah kata tak boleh dakwa langsung. Guna Seksyen 377D.
“Saya cadangkan polis ambil nasihat Jabatan Peguam Negara (AG). Dakwa dulu, jangan mengatakan tak boleh dakwa. Biar hakim yang putuskan bersalah atau tidak,” tegasnya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan jika tiada pendakwaan dibuat, ia akan menghantar isyarat salah dan menyuburkan normalisasi LGBT di negara ini, memandangkan kes serupa turut dilaporkan berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Kita bimbang kalau dibiarkan, mereka akan anggap ini satu ruang untuk melakukan kesalahan. Gejala LGBT ini perlu dihapuskan dan kerajaan harus bertanggungjawab, jangan sesekali beri ruang normalisasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











