‘Negara dah hilang merdeka, sebab itu kita protes’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kebimbangan serius dalam kalangan veteran pertahanan negara berhubung perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini, sehingga menimbulkan persepsi bahawa negara seolah-olah sudah ‘ditakluk’ kuasa besar itu.

- Advertisement -

Menurutnya, kumpulan veteran berkenaan yang terdiri daripada bekas anggota dan pegawai tinggi tentera telah mengadakan perjumpaan serta bertemu beliau sebelum mengeluarkan satu kenyataan media mengenai perkara itu.

“Hari ini kita ada perjumpaan veteran-veteran yang dulu bekerja untuk ‘defend’ negara kita. Mereka berasa ‘concern’ tentang apa yang berlaku… mereka berpendapat bahawa negara kita ini sudah ditakluk oleh Amerika Syarikat.

“Ini pendapat bukan saja veteran. Ini pendapat ramai orang termasuk ‘lawyer-lawyer.’

“Mereka bersetuju bahawa perjanjian yang dibuat dengan Amerika Syarikat ini menyebabkan Malaysia hilang kemerdekaan dan ditakluk oleh Amerika,” katanya dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kebimbangan itu meningkat selepas satu lagi perjanjian berkenaan kerjasama ketenteraan ditandatangani hanya empat hari selepas perjanjian pertama.

Beliau turut mengulas perubahan gelaran dalam pentadbiran Amerika Syarikat yang kini menurutnya mempunyai ‘Secretary for War’ dan bukan lagi _‘Secretary for Defense’, serta menyatakan bahawa tindakan-tindakan ketenteraan negara itu semakin agresif.

“Mereka akan berperang dan kita lihat tak payah nak diisytihar perang. Dia tak setuju saja dia bunuh. ‘Now they are dropping bombs on ships going to Venezuela without checking… and people die’,” tegasnya.

Menurutnya, sikap tersebut menimbulkan kebimbangan besar jika Malaysia terus terikat dalam perjanjian berkenaan.

“Kita berasa khuatir tentang perjanjian kita dengan Amerika ini yang meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang ditakluk oleh Amerika Syarikat,” hujah beliau.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa kebimbangan itu bukan hanya disuarakan oleh veteran tentera, malah turut mendapat sokongan rakyat.

“Mereka menyatakan bahawa pendirian mereka ini juga disokong oleh rakyat… mereka berpendapat bahawa perkara ini amat serius dan sepatutnya semua pihak akan dimaklum dan mencari jalan supaya menyelamatkan negara kita.

“Di antaranya ialah dengan tidak
mengesahkan perjanjian yang dibuat dengan Amerika.

“Perjanjian itu perlu disahkan dalam jangka masa dua bulan. Ini dekat dah habis dua bulan. Kerajaan ini kalau nak lepas diri dia, dia kena batalkan perjanjian ini dan kita kembali menjadi negara yang merdeka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, terdapat klausa dalam perjanjian timbal balas (ART) 2025 antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang menunjukkan Malaysia tidak boleh mengambil tindakan tertentu tanpa merujuk kepada Washington.

“Saya baca habis (laporan perjanjian itu) tapi panjang panjanglah dia punya laporan. Yang dia isytihar tu satu bahagian saja.

“Dalam yang satu bahagian yang diisytihar itu pun sudah ada klausa-klausa yang menunjuk dengan jelas bahawa kita tak boleh buat apa-apa tanpa merujuk kepada Amerika.

“Suruh dia tunjuk kata ayat ini tak ada. Suruh dia tunjuk, dia ada situ.

“Dan saya dah jawab dah. Inilah ayat, dia tak kata, ‘Oh, kami sekarang ni jadi bumiputera’, dak. Dia data kuasa
macam bumiputera itu semua ada dalam perjanjian (itu),” jelasnya.

Tambahnya, orang biasa sukar memahami kandungan perjanjian yang kompleks, justeru peranan media adalah penting untuk memaklumkan rakyat mengenai apa yang telah ditandatangani kerajaan.

Dr Mahathir turut menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin mengambil tindakan terhadap pihak yang mengkritik perjanjian berkenaan.

“Kerajaan ini akan bertindak. Siapa-siapa yang menentang akan hadapi masalah. Kita semua takutlah sebab kerajaan ada kuasa.

“Nak tangkap orang pun boleh. Ini masalah serius. Negara kita sudah hilang kemerdekaan. Sebab itu kita protes,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -