
KUALA LUMPUR: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk menghadap Majlis Raja-raja bagi membentangkan kebimbangan mereka berhubung perjanjian keselamatan dan kerjasama pertahanan, serta perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Borhan Ahmad berkata, pihaknya sedang merangka pertemuan dengan beberapa Raja terlebih dahulu sebelum cadangan itu dibawa ke Majlis Raja-raja untuk pertimbangan lanjut.
“Ya, kita memang telah membuat perancangan untuk berjumpa dengan Raja-raja membincangkan masalah yang kita hadapi sekarang ini. Kita nak tengok apa pandangan mereka.
“Kita minta supaya perkara ini dapat dibawa kepada Majlis Raja-raja supaya satu tindakan yang arif dapat diambil oleh Majlis. Itu yang kita nak. Kita nak jumpa mereka dan rancang nak jumpa dua tiga orang dulu,” ujarnya dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongan terhadap usaha veteran ATM itu dan menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan bukan hanya melibatkan bekas anggota tentera, tetapi turut disokong rakyat umum.
“Perak, Perlis… Tan Sri mewakililah. Bukan semua nak pergi. Dua orang atau tiga orang pun boleh pergi (menghadap). Tapi kita kena ingat bukan saja bekas tentera tetapi juga orang ramai menyokong pendirian mereka dan sepatutnya ini disampaikan kepada Raja-raja,” jelasnya.
Dr Mahathir turut mempersoalkan implikasi terhadap Perlembagaan Persekutuan sekiranya negara, seperti yang dibimbangi oleh kumpulan veteran, dikatakan berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat melalui perjanjian tersebut.
“Kita tak tahulah apa akan jadi kepada negara kita kalau kita sudah ditakluk oleh Amerika Syarikat. Apakah Perlembagaan negara kita ini masih kekal? Kerana Perlembagaan kita kata kita negara merdeka.
“Tetapi bila kita letak negara kita di bawah Amerika, apakah Perlembagaan itu masih ada ataupun tidak? Perlembagaan ini termasuk kedudukan Raja-raja. Kita ada Raja-raja negeri, kita ada Yang di-Pertuan Agong. Apa kedudukan mereka setelah Malaysia ditakluk oleh Amerika?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











