ART: Jangan jadikan negara, bangsa ini peminta sedekah

Borhan Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Borhan Ahmad melahirkan kebimbangan mendalam terhadap cara kerajaan berurusan dengan Amerika Syarikat, susulan termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) 2025 dalam lawatan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurutnya, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia kerap menguar-uarkan bahawa negara ini adalah sebuah zon bebas dan berkecuali.

“Sebagai ahli negara kelompok ASEAN, kita telah mengisytiharkan sikap berkecuali atas urusan negara lain di rantau ini.

“Bagi mengekalkan falsafah ini, kita hendaklah kekal bebas dan berkecuali dari segenap sikap dan bentuk dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar atau kuasa setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ART 2025 serta Perjanjian Persefahaman berkaitan pertahanan, kerjasama ketenteraan dan ‘architecture’ keselamatan kawasan menimbulkan persoalan besar kerana seolah-olah menggadaikan kedudukan negara.

“Kami berpendapat bahawa kita telah menyerahkan kedaulatan dan kewibawaan negara kepada kuasa asing yang tidak mencerminkan sebuah negara bangsa yang merdeka.

“Persoalannya ialah adakah kita telah dijajah semula dan diperas ugut untuk menandatangani satu perjanjian yang berat sebelah? Apakah alasannya kita menyerah kepada ugutan kenaikan tarif sekiranya menolak perjanjian perdagangan ini?” soalnya.

Borhan turut mengingatkan bahawa kemerdekaan negara bukan dicapai dengan mudah, tetapi melalui perjuangan panjang dan pengorbanan besar anggota keselamatan.

Menurutnya, negara telah berjuang untuk kemerdekaan melalui darah dan air mata oleh Veteran ATM yang sedia ada, menentang Parti Kominis Malaya, Konfrontasi Indonesia.

“( Ia juga termasuk) Pencerobohan Lahad Datu dan lain-lain untuk memajukan negara seperti yang ada sekarang dengan prasarana dibanggakan seperti Twin Towers, Merdeka Towers, TRX, Bangunan 118.

“Apakah semua ini dapat kita bangunkan dan dinikmati rakyat jelata sekiranya Angkatan Tentera Malaysia telah gagal melaksanakan amanah yang diberikan?

“Jawapannya semestinyalah ‘tidak’, dari itu ayuh jangan sekali kali kita jadikan negara, bangsa ini sebuah negara peminta sedekah lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -