Ada ‘lohong’ hingga pelaku gay bebas tanpa hukuman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak supaya segera meneliti dan memperkemaskan undang-undang sedia ada bagi menutup ‘lohong’ perundangan yang menyebabkan penganjur dan peserta aktiviti songsang terlepas daripada hukuman.

- Advertisement -

​Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, kelompangan dalam aspek perundangan dan teknikal tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk membenarkan aktiviti yang jelas merosakkan akhlak masyarakat itu berlalu sewenang-wenangnya tanpa pendakwaan.

​Beliau berkata demikian sebagai respons kepada laporan mengenai pelepasan 171 individu yang ditahan dalam serbuan sebuah pusat spa dan kesihatan yang dikaitkan dengan aktiviti gay di Jalan Raja Laut, baru-baru ini.

​“Kerajaan perlu meneliti serta memperkemas undang-undang sedia ada bagi mengelakkan penganjuran aktiviti yang bercanggah dengan norma dan peraturan negara.

​“Langkah penguatkuasaan yang lebih ketat amat diperlukan bagi memastikan insiden seperti penganjuran pesta di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak berulang,” katanya.

​Terdahulu, media melaporkan seramai 17 penjawat awam termasuk seorang Timbalan Pendakwa Raya, pakar bedah, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta guru adalah antara 201 lelaki yang ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

​Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mendedahkan bahawa 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman ditolak oleh majistret atas alasan lewat dikemukakan akibat jumlah tangkapan yang terlalu ramai.

​Lebih membimbangkan, Fadil mengakui wujud kesukaran untuk menuduh mereka di bawah undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan kerana ketiadaan mangsa yang tampil membantu siasatan.

​“Sebab setiap kali eksploitasi, pelacuran, ataupun luar tabi’i, mesti ada mangsa, tetapi tiada daripada mereka yang nak mengaku jadi mangsa. _So, the case is gone_ (kes tidak diteruskan),” jelas Fadil.

​Mengulas perkara itu, Ustaz Mohd Fairuz menegaskan bahawa PAS Negeri Sembilan memandang serius perkembangan tersebut kerana ia menghantar isyarat yang salah kepada pelaku maksiat.

​“PAS Negeri Sembilan mengecam penganjuran pesta tersebut kerana ia jelas bertentangan dengan nilai moral, budaya tempatan serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

​“Kami menuntut agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan mana-mana pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut sebagai pengajaran, demi mempertahankan kesejahteraan masyarakat daripada ancaman budaya kuning,” ujarnya.

​Dalam serbuan Jumaat lalu, daripada 171 warga tempatan yang ditahan, seramai 103 orang adalah berbangsa Melayu.

Hanya 31 warga asing direman selama dua hari daripada keseluruhan individu yang diperiksa. – *HARAKAHDAILY 5/12/2025*

- Advertisement -