Isu spa gay: Natijah peruntukan kanun syariah dibatal

- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu serbuan pusat spa dan kesihatan yang dikaitkan dengan aktiviti songsang golongan gay di Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini, namun tidak membawa kepada pendakwaan bukan sekadar persoalan bidang kuasa, tetapi mencerminkan kelompongan serius dalam sistem perundangan negara melibatkan undang-undang sivil dan jenayah syariah.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan polis bahawa kesalahan luar tabii tidak boleh didakwa kerana ‘tiada mangsa’, sekali gus menyebabkan semua individu dalam serbuan tersebut dilepaskan tanpa sebarang tindakan lanjut.

Menurut Mardhiyyah, undang-undang jenayah syariah tidak meletakkan kewujudan mangsa sebagai syarat untuk pendakwaan seperti dalam undang-undang sivil.

“Undang-undang jenayah syariah tidak memerlukan mangsa. Ia bergantung sama ada kesalahan itu adalah satu kesalahan di sisi syarak atau tidak.

“Kalau ia ditetapkan sebagai dosa dan kesalahan dalam sumber perundangan syariah, tindakan boleh diteruskan walaupun tiada siapa mengaku menjadi mangsa,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Iki Putra Mubarak yang membatalkan beberapa peruntukan syariah atas alasan subjek perkara berada di bawah kuasa Persekutuan.

Beliau menegaskan, walaupun keputusan itu melibatkan Kelantan dan Selangor, ia memberi kesan domino kepada semua negeri.

“Penguatkuasa agama kini rasa ‘inferior’, takut nak bertindak kerana bimbang tindakan mereka dicabar di mahkamah sivil.

“Sedangkan ada perbuatan yang cukup syarat untuk didakwa di bawah undang-undang jenayah syariah, tetapi peruntukan itu telah dibatalkan atau berisiko dibatalkan,” hujah beliau.

Mardhiyyah juga menjelaskan bahawa keadaan menjadi rumit apabila sesuatu perbuatan tidak boleh didakwa di bawah undang-undang syariah kerana isu subjek bidang kuasa, namun dalam masa sama tidak cukup elemen untuk didakwa di bawah undang-undang sivil.

“Dalam kes ini polis kata kesalahan luar tabii mesti ada mangsa. Saya tak jelas maksud ‘mangsa’ itu. Mungkin maksudnya mangsa yang tidak rela, atau meliwat dan diliwat tetapi jika tiada siapa mengaku, pendakwaan tak boleh berjalan.

“Inilah masalah besar yang saya katakan syariah tak boleh, sivil pun tak boleh,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Mardhiyyah, perbezaan asas antara perundangan syariah dan sivil menjadikan isu ini lebih kompleks.

“Kaedah menentukan kesalahan berbeza, sumber rujukan berbeza, asas pertimbangan hakim juga berbeza. Di mahkamah sivil, rujukan adalah kanun keseksaan.

“Di mahkamah syariah pula berdasarkan undang-undang jenayah syariah yang bersumberkan syarak,” jelasnya.

Sebagai peguam yang beramal dalam kedua-dua bidang, Mardhiyyah menegaskan beliau tidak memperlekehkan mana-mana sistem perundangan, namun masyarakat perlu memahami bahawa struktur semasa sedang mewujudkan ruang kosong yang membahayakan.

“Ini bukan isu kecil. Ada implikasi besar apabila sesuatu kesalahan tidak boleh diproses di mana-mana mahkamah.

“Saya harap masyarakat, khususnya orang Islam, memahami perbezaan ini dan pentingnya pembaharuan undang-undang bagi menutup kelompongan yang wujud,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -