Jenayah seksual, moral berleluasa: Di mana ‘lompang’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak supaya segera mendedahkan status laporan dan cadangan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menangani ‘kelompangan’ besar dalam perundangan syariah pasca kes Iki Putra dan Nik Elin.

- Advertisement -

​Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, keputusan mahkamah dalam kes-kes tersebut telah menoktahkan satu perkara iaitu DUN tidak lagi boleh menggubal undang-undang jenayah syariah sekiranya ia termasuk dalam senarai kuasa Parlimen.

​Menurutnya, takrifan kuasa Parlimen di bawah Senarai 1, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah sangat luas, merangkumi aspek kewangan, jenayah, dadah, kawalan makanan dan banyak lagi.

​“Sebagai contoh, Enakmen Kelantan ada peruntukan tentang kesalahan riba yang sememangnya haram di sisi Islam. Namun, mahkamah membatalkan seksyen tersebut kerana ia masuk dalam topik ‘kewangan’ yang merupakan bidang kuasa Persekutuan.

​“Persoalannya, jika negeri tidak boleh mengharamkan riba, adakah Parlimen boleh mengharamkannya? Jawapannya, Parlimen tidak boleh membuat undang-undang ‘suku-suku’ atau diskriminasi untuk orang Islam sahaja di bawah Perkara 8 Perlembagaan.

​“Maka wujudlah kelompangan besar. Negeri tidak boleh buat, Parlimen pun tidak boleh buat. Jadi harus bagaimana?” soalnya.

​Jelas Yusfarizal, beliau bersama rakan-rakan peguam telahpun mengemukakan cadangan pindaan Perlembagaan yang lengkap termasuk meminda Senarai Negeri dan Perkara 74, namun dukacita inisiatif itu seolah-olah tiada sambutan.

​Beliau mempersoalkan sikap membisu kerajaan mengenai hasil kajian jawatankuasa khas yang ditubuhkan sebelum ini.

​“Dengarnya cadangan sudah dipersembah. Tapi kita tidak tahu apa-apa. Apa cadangannya? Diterimakah atau tidak? Apa seterusnya? Saya kira sudah tiba masa rakyat bersuara dan tanya kerajaan apa telah dibuat. Dedahkan laporan dan cadangan tersebut,” tegasnya.

​Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai implikasi keputusan mahkamah tersebut terhadap kesalahan jenayah seksual dan moral yang semakin berleluasa.

​Merujuk kepada insiden serbuan pusat spa songsang baru-baru ini, ujarnya, tiada pendakwaan dapat dibuat akibat kekangan undang-undang.

​“Itu belum cerita tentang kesalahan seksual lagi. Penat jiwa orang Islam melihat ‘abang-abang sado’ Muslim yang sepatutnya menjadi qawwam (pelindung) di rumah, namun ‘kemam’ di sauna. Bertindak sekarang. Apa tunggu lagi?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -