Diacu pistol lebih teruk dialami Anwar tahun 1998 dulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei berkata, beliau dilayan dengan kasar termasuk diacukan pistol oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu kediamannya, baru-baru ini.

- Advertisement -

​Menceritakan detik cemas itu ujar Tei, pegawai yang terlibat memakai penutup muka yang disifatkannya ‘macam syaitan’ dan memecahkan pintu rumah walaupun beliau sedia memberikan kerjasama.

​“Bila dia (SPRM) ambush (serbu), saya turun buka pintu, tingkap. Ada satu pegawai dia pakai sarung muka macam syaitan, sangat dahsyat. Pistol itu dia acu pada saya, dia panggil saya ‘buka pintu! buka pintu!’.

​“Tetapi pintu itu dia orang pecah, safety lock (selak keselamatan) sudah ikat mati. Bukan saya tak mahu buka,” katanya kepada pemberita selepas membayar wang ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

​Tei turut menyamakan insiden penahanannya itu dengan peristiwa penangkapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, namun dirinya diperlakukan dengan lebih teruk.

​“Saya nampak mata dia (anggota SPRM), memang saya percaya dia akan tembak saya. Dan mereka kata mereka SPRM tapi saya tak nampak apa-apa kad kuasa, apa-apa waran.

​“Apa yang mereka buat pada saya sama seperti apa yang berlaku pada dia (Anwar) pada 1998. Namun masa Anwar (dahulu) tidak digari, dia tak dibaring untuk diikat dengan kabel (seperti saya),” katanya lagi.

​Sebelum ditahan, Tei dilaporkan dilihat bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

​Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa pegawainya mengacukan pistol ke arah Tei.

​Tegas Azam, penangkapan tersebut dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan laporan polis telah dibuat supaya siasatan dijalankan terhadap dakwaan fitnah yang dilemparkan ke atas pegawainya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -