Anwar arah rakam video, jadi bahan ugutan – Albert Tei

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Albert Tei mendakwa Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pernah memaklumkan kepadanya bahawa arahan untuk merakam video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang terlibat rasuah datang daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri.

- Advertisement -

Ahli perniagaan itu memberitahu, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri tersebut memberitahunya bahawa arahan Perdana Menteri dibuat dengan tujuan rakaman itu akan dijadikan sebagai bahan ugutan demi kepentingan politik.

​“Dia (Shamsul) kata dia sudah bincang dengan Perdana Menteri dan Perdana Menteri panggil buat. Sebab ini video rasuah boleh ambil untuk ugut mereka, untuk kepentingan politik. Baru saya berani buat,” katanya kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

​Susulan itu, Tei memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar menjawab segala tuntutan termasuk mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya pada hari tangkapan dan jika gagal, Perdana Menteri sewajarnya meletakkan jawatan.

​“Saya bagi masa tujuh hari jawab segala tuntutan saya, kalau gagal jawab kamu harus letak jawatan,” katanya yang turut melaungkan slogan ‘Reformati’ dipercayai merujuk maksud ‘reformasi sudah mati’ sebanyak tiga kali.

​Tei turut menjelaskan bahawa beliau mempercayai Shamsul Iskandar pada awalnya adalah kerana kedudukan individu tersebut sebagai orang kanan nombor dua kepada Perdana Menteri.

​“Bayangkan, Shamsul adalah Setiausaha Politik Kanan. Kalau dia pun saya tak boleh percaya, siapa lagi saya boleh percaya? Kenapa daripada November 2024 saya asyik memperjuangkan ini skandal rasuah Sabah?

​“Sebab di belakang ada satu dalang, ada satu jerung yang terbesar. Jadi saya ingin tanya adakah Anwar Ibrahim telah disiasat? Adakah dia telah diambil kenyataan (statement)?” soalnya lagi.

Semalam, ​Tei diikat jamin RM70,000 selepas berdepan empat pertuduhan menawarkan rasuah berjumlah RM176,830 kepada Shamsul Iskandar, manakala Shamsul pula menerima habuan tersebut.

​Isu ini bermula sejak November tahun lalu apabila siri pendedahan video Tei mengaitkan lebih 12 wakil rakyat dalam pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan amalan rasuah. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -