
KUANTAN: Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan hari ini dianggap tidak menangani isu asas yang dihadapi rakyat, ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sebaliknya kata beliau, belanjawan itu seolah-olah menyerupai belanjawan pilihan raya dan kurang fokus kepada masalah asas seperti peluang pekerjaan, projek terbengkalai dan isu sosial di negeri ini.
“Contohnya, penutupan berapa kilang di Pahang yang menyebabkan rakyat akan hilang peluang pekerjaan. Ini perlu diberi satu penyelesaian yang agak menyeluruh.
“Kilang di Jengka ditutup sepenuhnya menyebabkan kehilangan hampir lebih pada 300 orang pekerja yang hilang peluang pekerjaan.
“Di samping itu kita lihat banyak zon industri ini tidak ada perancangan yang agak khusus untuk membangunkan perancangan tersebut termasuklah yang ada di Tanjung Agas, apa perancangan projek bangunan.
“Demikian juga zon-zon industri daerah-daerah lain yang kita lihat hingga setakat ni tak ada satu perancangan yang agak komprehensif untuk menyesaikan, ia lebih bersifat ad-hoc pada projek pembentangan belanjawan pada kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pembentangan Belanjawan Pahang 2026 di pekarangan Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, masih terdapat beberapa projek menangani banjir di Lipis, Temerloh dan Bentong yang belum diselesaikan di bawah peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Kita perlu ada penjelasan terhadap pelan pembangunan dan struktur asas yang jelas dalam menangani masalah banjir,” katanya.
Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyentuh isu pengurusan sumber negeri, khususnya kecurian mineral.
“Isu sumber hasil negeri yang berdepan dengan kecurian. Kita tahu ada kecurian berlaku pada sumber-sumber mineral negeri dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan untuk halang kejadian ini.
“Baru-baru ini, media New Time lapor, daripada 1,200 metrik tan hasil yang dihantar ke China, hanya beberapa ratus tan sahaja direkodkan.
“Ini jelas tunjuk ada ketirisan berlaku. Walaupun tidak dinyatakan negeri mana, kita harap kerajaan beri perhatian serius terhadap sumber hasil negeri,” katanya.
Walaupun terdapat kritikan, beliau menghargai pemberian insentif ‘one-off’ kepada pelbagai agensi dan penglibatan rakyat dalam jemaah haji. – HARAKAHDAILY 5/12/2025












