
SHAH ALAM: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mengumumkan kerjasama bagi melancarkan misi bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia susulan bencana banjir besar yang meragut ratusan nyawa serta memusnahkan ribuan kediaman di wilayah itu.
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, gabungan NGO Ansar Global, Geutanyoe Malaysia, Rahmat Care Malaysia serta Pertubuhan Kasih dan Prihatin Al Ikhlas (Ikhlas Care) bersetuju menyatukan usaha bagi mengumpul dana kecemasan daripada masyarakat.
“Kami bersetuju untuk menggabungkan kekuatan NGO ini untuk mengumpul dana daripada seluruh masyarakat bagi kita menghantar segera bantuan ke Aceh dan juga kawasan-kawasan yang terjejas, termasuk pembelian khemah-khemah dan keperluan makanan,” ujarnya.
Keadaan di Aceh sangat terdesak dan Ansar Global akan bertindak sebagai sekretariat untuk menggerakkan misi bantuan tersebut, maklumnya selepas mesyuarat bersama semua NGO tersebut di Seksyen 18, di sini malam tadi.
Setiausaha Agung Ansar Global, Abdul Halim Omar dalam pada itu berkata, mesyuarat pertama yang diadakan itu menjadi titik permulaan usaha pengumpulan dana secara besar-besaran dengan harapan masyarakat dapat tampil membantu.
“Harapan kami semua adalah sumbangan daripada orang ramai. Sebar-sebarkan berita ini dan bantu sumbang serta bantu sebar. Jika seorang menyumbang RM10 daripada ahli keluarga kita, kalau satu keluarga ada 10 orang, kita dapat RM100.
“Bayangkan berapa banyak kita boleh kumpulkan dalam masa terdekat. Bantu sumbang dan bantu sebarkan mesej ini,” rayu beliau yang akan mengetuai sekretariat tersebut serta melaksanakan usaha bantuan secara berfasa.
Pengasas Geutanyoe Malaysia, Lilianne Fan pula menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama yang terbentuk dan menegaskan bahawa Aceh amat memerlukan bantuan segera.
“Kami sangat berterima kasih. Malam ini kami sudah bergabung dan membuat keputusan untuk melancarkan satu kempen bantuan kemanusiaan dan misi kemanusiaan ke Aceh. Aceh sangat memerlukan bantuan dari kita semua sekarang.
“Kawan-kawan semua diharap membuka hati memberikan sumbangan apa saja untuk membantu saudara dan saudari kita di Aceh sekarang yang sangat memerlukan bantuan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Aceh adalah wilayah yang sudah banyak kali berdepan bencana besar, termasuk tsunami dan konflik panjang, namun tetap menunjukkan ketabahan serta moral tinggi.
“Inilah saat untuk kita semua membantu orang Aceh,” ujarnya terhadap tragedi alam yang menurut laporan Agensi Bencana Indonesia pada Rabu (3 Disember) telah merekodkan jumlah korban di Pulau Sumatera kini melebihi 800 orang, dengan lebih 650 lagi dilaporkan hilang.
“Jumlah kematian kini mencecah 804 orang, manakala lebih 570,000 penduduk di tiga wilayah terjejas terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan,” menurut kenyataan rasmi agensi tersebut.
Bencana yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat itu turut mengakibatkan 507 orang masih belum ditemui, lebih 2,500 cedera, dan seramai 3.3 juta penduduk terjejas.
Mengikut pecahan wilayah, Aceh merekodkan 218 kematian, Sumatera Utara 301, dan Sumatera Barat 193 kematian.
Rakyat Malaysia yang prihatin boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Rakyat nombor 1102411833 atas nama Pertubuhan Ansar Global dan sebarang pertanyaan hubungi 0192883000 (Abdul Halim). – HARAKAHDAILY 5/12/2025












