
KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kemajuan dan pembangunan di sesebuah kawasan bandar tidak menjamin sokongan kepada kerajaan.
Beliau berkata, sebahagian besar kawasan bandar dengan pendapatan tinggi dan perkapita tinggi sebenarnya lebih cenderung menyokong pembangkang.
“Jangan kita anggap bila banyak bangunan tu mesti kekal bersama kerajaan. Tak. Hampir semua ibu negeri dikuasai oleh pembangkang sebenarnya. Ini bermakna bila kerajaan buat dan bagi macam-macam tak mungkin kerajaan tumbang? Tak. Dia tidak begitu sifatnya.
“Rakyat harus melihat tentang nilai spiritual, nilai integriti yang tinggi. Itu yang perlu dipegang,” katanya dalam satu sidang media selepas pembentangan Belanjawan Pahang 2026 di pekarangan Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan mengambil kesempatan sekarang untuk mempercepatkan Pilihan Raya Umum (PRU) berikutan isu dalaman Perikatan Nasional (PN), Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tiada masalah dalaman dalam gabungan itu.
“Kalau orang luar lihat, nampak macam ada isu. Tetapi dalam PN, kita tiada masalah. Saya sebagai Pengerusi PN Pahang bersama rakan-rakan turun buat program tanpa mengira DUN mana yang bertanding.
“Kita turun atas nama Perikatan Nasional. Masalah yang berlaku sedikit, bukan besar mana dan kita boleh atasi,” jelas beliau.
Mengulas mengenai program Jelajah Aspirasi Pahang 1st oleh kerajaan negeri yang dikatakan meniru PAS Teraju Pahang (PTP), beliau berkata, ia bergantung kepada hak setiap parti.
“Bagi kita ia adalah hak setiap parti, tentu kerajaan negeri boleh jalankan pelbagai program kerana itu duit rakyat. Tetapi bagi kita, program PTP diteruskan untuk memberi sentuhan kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025












