
PENGKALAN CHEPA: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah menyifatkan cadangan untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan sebagai tindakan bermotif politik dan tidak wajar dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya meneliti semula usul berkenaan kerana perkara itu tidak lagi relevan selepas Ahli Parlimen terbabit mengakui kesilapan serta membuat pembetulan terhadap maklumat yang diterima sebelum ini.
“Kita nak dengar dulu usul itu macam mana. Yang kedua, kita akan tentang usul untuk menggantung, sebab bagi kita dengan apa yang berlaku sebelum ini tak kena dengan cadangan dia nak sampai enam bulan,” katanya.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan ditemui selepas Majlis Perasmian Bangunan PASTI dan Anugerah Prestasi PASTI Al-Arshadi Panchor, di sini hari ini.
“Menteri pun baru ini kata perkara itu dah beres, tak ada apa. Tiba-tiba mari usul nak gantung. Jadi itu nampak macam ada suatu niat yang tidak baik di sebalik usul ini,” ujarnya.
Mohd Amar berkata, tindakan penggantungan itu juga tidak perlu kerana Datuk Takiyuddin telah pun membuat penjelasan.
“Tak perlu laksana (gantung) sebab saya difahamkan Ahli Parlimen kita pun sudah mengakui kesilapan dia. Maklumat yang dia dapat tu tidak berapa tepat. Dia dah buat pembetulan dah. Jadi bagi saya tak bermakna. Usul nak gantung sehingga enam bulan ini tidak perlu,” katanya.
Mengulas proses seterusnya sekiranya penggantungan tetap diluluskan Dewan Rakyat, beliau menjelaskan masih terdapat ruang untuk Datuk Takiyuddin mengemukakan rayuan.
“Kalau dia gantung, kalaulah diterima, dia ada ruang untuk buat rayuan. Tapi itu terserah kepada Dewan Rakyat sebab keputusan akhirnya di tangan ahli-ahli Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2025











