
KUALA LUMPUR: Usul untuk menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) selama enam bulan ditangguhkan selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah susulan melalui proses seterusnya sebelum apa-apa keputusan dibuat.
Pengumuman ini menghentikan usaha awal kerajaan untuk membawa usul hukuman terus ke Dewan Rakyat dan disifatkan kemenangan kepada rakyat.
Perbahasan sebelum penangguhan menyaksikan suasana Dewan Rakyat menjadi panas apabila beberapa Ahli Parlimen PN bangkit membantah tindakan membawa usul tanpa melalui proses yang sepatutnya.
Usul berkenaan berkait dengan kenyataan Takiyuddin mengenai latihan Maritim Malaysia di Masjid Rusila yang cuba dipautkan oleh pihak tertentu kepada peristiwa Memali.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, muncul antara suara paling lantang menegur tindakan kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa hukuman berat seperti penggantungan enam bulan tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa tanpa siasatan terperinci, bukti mencukupi dan ruang pembelaan melalui mekanisme Parlimen.
Takiyuddin sendiri turut mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut, menjelaskan konteks sebenar kenyataannya dan menafikan dakwaan bahawa beliau mempolitikkan latihan keselamatan.
Beliau menekankan bahawa maklumat yang diterima menunjukkan insiden di Masjid Rusila telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak ekoran tiada pemakluman kepada pihak masjid terlebih dahulu.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), pula beberapa kali bangkit memberikan kronologi lengkap insiden tersebut, termasuk mengemukakan laporan polis oleh pihak masjid sebagai bukti rasmi bahawa pihak pengurusan Masjid mempunyai kebimbangan berasas akibat operasi tanpa pemakluman itu.
Dua lagi Ahli Parlimen, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), turut membantah penggunaan Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk membawa usul itu.
Mereka menegaskan bahawa kerajaan tidak wajar memintas proses jawatankuasa atau menggunakan peraturan tersebut untuk menghukum pembangkang secara politik.
Walaupun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan usul itu dikemukakan, tekanan berterusan daripada pembangkang akhirnya membawa kepada keputusan penangguhan oleh pihak kerajaan.
Keputusan ini mengekalkan prinsip bahawa setiap Ahli Parlimen berhak mendapat proses yang adil dan menghalang terciptanya preseden yang boleh merosakkan integriti Dewan Rakyat.
- HARAKAHDAILY 4/12/2025











