
RAMAI masih tak sedar bahawa akibat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Ikiputra, sudah menjadi ‘almost impossible’ atau hampir mustahil untuk mendakwa dan sabitkan kesalahan ke atas mereka yang melakukan perlakuan songsang sebegini walaupun yang terlibat adalah umat Islam.
Dalam kes ini, adalah dilaporkan lebih 100 dari 200 lebih lelaki yang ditangkap adalah beragama Islam. Dan walaupun katalah ada video atau saksi yang nampak dengan mata sendiri perlakuan songsang ini, tiada tindakan boleh diambil. Kerana apa? Kerana di bawah undang-undang sivil, kalau suka sama suka, tiada siapa yang cedera atau akan mengadu agar tindakan undang-undang boleh diambil. Ini yang polis cuba katakan di lampiran di bawah.
Mungkin ada yang akan menggesa kita menggunakan undang-undang shariah untuk menghalang dan mensabitkan perlakuan songsang yang dilakukan oleh Muslim? Bukan ke meliwat satu kesalahan jenayah besar bawah Islam? Ya memang satu kesalahan besar tetapi akibat kes Mahkamah Persekutuan Ikiputra, undang-undang shariah seperti ini adalah terbatal sama sekali. Negeri sudah tiada kuasa menggubal.
Rentetan dari itu, asas penggubalan jenayah shariah sudah dan akan jatuh. Kita tunggu satu persatu peruntukan undang-undang jenayah shariah yang lain akan jatuh.
Untuk makluman, Mahkamah Persekutuan dalam kes Ikiputra dan Nik Elin memutuskan negeri tiada lagi kuasa menggubal mana-mana undang-undang yang menyentuh bidang kuasa Persekutuan. Di dalam Perlembagaan, bidang kuasa Persekutuan amat luas termasuk menggubal undang-undang jenayah. Maka mengikut Mahkamah Persekutuan, oleh kerana kesalahan shariah meliwat menyentuh perkara jenayah Persekutuan, ia adalah terbatal. Sebelum Ikiputra, mahkamah tidak berpandangan begitu. Ini interpretasi baru.
Untuk mengatasi ini, kita sudah tiada pilihan kecuali meminda perlembagaan dengan segera sebelum yang lain jatuh. Saya dimaklumkan juga, akibat kes Ikiputra dan Nik Elin, negeri-negeri menjadi berwaspada dan takut melaksanakan undang-undang sedia ada. İni boleh dan akan mengubah ‘our way of life’.
Untuk gerakan ini saya perlukan bantuan ramai untuk pengaruhi wakil rakyat mereka. Naratif kita mudah. Pindaan perlembagaan ini tidak akan memberi kesan kepada bukan Muslim. Kepada Muslim pindaan perlembagaan ini perlu untuk mempertahankan ‘our way of life’ yang sudah lama diamalkan sebelum merdeka lagi.
Misalnya berjudi. Dari sebelum merdeka, umat Islam dilarang di bawah undang-undang dari berjudi. Akibat alasan kes Ikiputra dan Nik Elin, ini bakal dijatuhkan. Ini mengubah amalan hidup umat Islam sejak sebelum merdeka lagi.
Jadi ayuh kawan-kawanku kita bergegas meminda. Ini bukan gerakan politikal tetapi akibat pindaan perlembagaan kita perlukan semua wakil rakyat kita memindanya.
Saya kini tengah lakukan beberapa ’groundwork’. Setelah berjaya ini, saya akan lakarkan perjalanan yang kita perlu ambil. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan dapat bersama-sama membantu kami.
LUKMAN SHERIFF – HARAKAHDAILY 2/12/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/1JD38LwJNt/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.













