Pemergian Khairul Fahmi, kehilangan besar buat PAS

- Advertisement -

GOMBAK: PAS kehilangan seorang tokoh penting apabila bekas Penolong Setiausaha Agung PAS yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak, Almarhum Khairul Fahmi Matsom, kembali ke rahmatullah pada 1 Disember jam 8.05 malam.

- Advertisement -

Almarhum disahkan meninggal dunia akibat ‘major cerebrovascular accident’ selepas dirawat di Hospital Selayang setelah dimasukkan ke wad pada Sabtu lalu sebelum keadaan kesihatan merosot dan akhirnya disahkan meninggal dunia pada malam semalam.

Menurut isteri beliau, Norita Salleh, Almarhum tidak menunjukkan tanda-tanda keuzuran berat, bahkan masih aktif menghadiri mesyuarat program Bakti Demi Selangor peringkat DUN Gombak Setia pada petang Jumaat sebelumnya.

Kata beliau, suaminya kelihatan ceria dan bersemangat seperti biasa, mencerminkan komitmen beliau terhadap gerak kerja parti sehingga ke akhir hayat.

Bagi PAS Kawasan Gombak, pemergian tokoh yang lama berkhidmat itu merupakan satu kehilangan besar buat jamaah.

Sepanjang penglibatannya, Almarhum dikenang sebagai seorang yang komited, amanah dan sentiasa mendahulukan kepentingan parti serta masyarakat, meskipun pernah berdepan ujian strok kira-kira dua tahun lalu.

Ucapan takziah turut dizahirkan oleh para pimpinan PAS dari pelbagai peringkat, termasuk rakan-rakan seperjuangan di peringkat Pusat, Kawasan dan Cawangan.

Media sosial turut dihujani dengan penghormatan serta doa, menggambarkan besarnya jasa dan kasih sayang yang telah beliau tinggalkan sepanjang perjalanan perjuangannya.

Jenazah Almarhum akan disolatkan di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak selepas solat Zohor pada hari ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata selepas pada itu.

Derma organ, isteri dedah hasrat murni almarhum

Dalam kesedihan mengenang pemergian suami tercinta itu, Norita mendedahkan bahawa Almarhum Khairul Fahmi pernah menyuarakan hasrat untuk mendermakan organ ketika hayatnya.

Menurut beliau, hasrat itu tercetus selepas seorang doktor pernah menghubungi Almarhum suatu ketika dahulu untuk bertanyakan kesediaannya menjadi penderma organ.

Perbualan ringkas itu kekal dalam ingatannya dan tidak disangka bakal menjadi kenyataan selepas pemergian tokoh PAS tersebut.

Pada hari Almarhum kembali ke rahmatullah, seorang doktor dari Hospital Selayang memaklumkan bahawa terdapat pesakit yang amat memerlukan sumbangan organ, khususnya kornea mata.

Menyedari hasrat murni suaminya semasa hidup, Norita tanpa keraguan memberikan persetujuan bagi sumbangan tersebut.

Baginya, keputusan itu adalah kesinambungan daripada sifat keikhlasan dan jiwa besar Almarhum yang sentiasa berbakti kepada masyarakat, malah selari dengan prinsip hidupnya sebagai seorang pejuang yang tidak pernah berhenti memberi.

Dalam suasana pilu kehilangan, beliau menyifatkan sumbangan terakhir itu sebagai amal jariah yang akan terus mengalir selagi manfaat organ tersebut dirasai penerimanya.

Pemergian Almarhum menjadi peringatan bahawa insan yang hidup dengan jiwa khidmat tetap memberi walaupun setelah meninggalkan dunia.

Moga Allah melimpahkan pahala berterusan atas amalan mulia ini dan menempatkan Almarhum dalam kalangan hamba-Nya yang dikasihi. Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -