Dr Aliakbar akan bawa suara PN ke DUN Sabah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor Sanusi menyifatkan kemenangan sulung PN di kerusi DUN Karambunai pada PRN17 membuktikan gabungan itu diterima rakyat Sabah walaupun berdepan sentimen kuat parti-parti tempatan.

“Walaupun sentimen PRN Sabah ini cenderung kepada parti lokal, tetapi PN diterima juga, khususnya PAS. Kita kemukakan calon tempatan yang baik, profesional, seorang pensyarah dan pernah menjadi ADUN Lantikan. Beliau juga sudah biasa dengan masyarakat setempat,” katanya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan itu memberi gambaran bahawa pendekatan PN serta calon-calon diketengahkan mendapat kepercayaan pengundi.

- Advertisement -

Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN17) ini PAS bertanding di enam kerusi mewakili PN dari semua 42 kerusi ditandingi komponen tersebut di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Calon daripada PAS yang bertanding ialah Datuk Dr Aliakhbar Gulasan (N.16 Karambunai), Dr Mohd Afifi Shaiffuddin (N.23 Petagas), Kasman Karate (N.63 Kunak), Dr Munzier Mahamud (N.67 Balung), Ahmad Dullah (N.71 Tanjung Batu) dan Hasan Haris (N.72 Merotai).

Daripada keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Dr Aliakbar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Karambunai pada PRN itu dengan majoriti 365 undi.

Muhammad Sanusi menegaskan, terdapat peningkatan undi kepada calon PN di beberapa kawasan walaupun berdepan pertandingan banyak penjuru.

“Contohnya, Ahmad Dullah ada lima penjuru, di Karambunai pula 11 penjuru. Saya ucap tahniah kepada beliau dan pengundi Sabah. Sabah beruntung memilih Dr Aliakbar sebagai wakil rakyat. Kalau tak pilih beliau, orang Sabah yang rugi, bukan saya,” ujarnya.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata, kemenangan itu penting kerana ia memberi ruang kepada suara PN dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Suara PN tetap ada sebab kita bertanding atas tiket PN. Tetapi konteks Sabah tidak sama dengan Kedah. Masyarakat, budaya dan nilai-nilai di sana lain, jadi kita sesuaikan pendekatan mengikut keperluan setempat,” ujarnya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan Dr Aliakbar selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai akan terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sanusi berkata, ia berikutan Naib Pengerusi PN Sabah itu sebelum ini merupakan ADUN dilantik oleh kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 dahulu.

“Sebelum ini beliau berada dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tapi sekarang belum tahu lagi. Mungkin ada (kerjasama), mungkin belum,” katanya ketika ditanya kemungkinan wujud kerjasama antara wakil PN itu dengan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu dibentuk.

Aliakbar berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan meraih 7,054 undi dalam pertandingan 11 penjuru pada PRN Sabtu lalu, malah mengenepikan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Yakub Khan.

Bagaimanapun sehingga terkini, Datuk Dr Aliakbar dalam reaksi awalnya menyatakan bahawa PN Sabah setakat ini memilih untuk bergerak secara sendiri dalam menghadapi landskap politik negeri.

Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada awal pagi Ahad setelah GRS memperoleh 29 kerusi dan membentuk kerajaan dengan sokongan bersama beberapa parti lain. – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -