
KEMENANGAN pertama PAS di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri 2025 merupakan perkembangan politik yang signifikan, bukan sahaja untuk landskap politik negeri, tetapi juga bagi memahami transformasi jangka panjang parti tersebut di luar Semenanjung Malaysia. Kejayaan ini bukan kejadian yang berlaku tanpa sengaja atau tiba-tiba mahupun hasil momentum kempen semasa; kemenangan ini adalah cerminan kepada satu proses pentarbiahan dan pengorbanan ahli serta pimpinan sebuah organisasi yang panjang. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kejayaan ini terbina melalui gabungan faktor sejarah, jaringan sosial, pembangunan akar umbi dan perubahan persepsi politik tempatan.
Sejak awal 1960-an, apabila PAS mula meninjau kemungkinan melebarkan dakwah dan aktivitinya ke Borneo, parti itu berhadapan pelbagai kekangan asas. Usaha awal antara 1961–1964 berlangsung dalam suasana politik Sabah yang masih cair, ditambah kekangan logistik, ketiadaan rangkaian institusi tempatan dan keutamaan parti yang ketika itu masih tertumpu kepada konsolidasi di Semenanjung. Walaupun percubaan ini tidak menghasilkan struktur formal, ia membentuk asas idea bahawa Sabah merupakan sebahagian penting medan dakwah nasional.
Turun naik yang berlaku pada dekad-dekad berikutnya menunjukkan bahawa pertumbuhan PAS di Sabah bersifat tidak linear. Permintaan daripada masyarakat tempatan, termasuk surat-surat yang dihantar dari Semporna, mencerminkan minat sporadik yang belum dapat diterjemahkan kepada pembangunan organisasi yang stabil. Selain faktor dalaman PAS, dinamika politik Sabah, termasuk dominasi parti-parti tempatan serta pertembungan blok politik turut menyekat konsolidasi awal PAS di negeri tersebut.
Perubahan struktur hanya berlaku secara lebih ketara pada pertengahan 1980-an. Krisis politik Sabah 1985–1986 membuka ruang yang lebih kondusif untuk kemasukan aktor politik luar. PAS mengambil kesempatan melalui penglibatan langsung beberapa tokoh nasional, yang akhirnya membawa kepada penubuhan PAS Sabah secara lebih formal. Pendaftaran rasmi pada 31 Julai 1987 menjadi titik pemisah penting, menandakan permulaan fasa institusionalisasi, termasuk pembentukan pusat tarbiah, pembukaan kawasan baharu dan kemunculan generasi pelapis tempatan.
Daripada perspektif analisis organisasi, kekuatan PAS di Sabah tidak berkembang melalui model pergerakan politik konvensional yang bergantung pada sumber besar atau mobilisasi populis. Sebaliknya, ia berkembang melalui model ‘pengukuhan perlahan’ (incremental consolidation) yang bergantung pada tarbiah, kepimpinan akar umbi dan hubungan sosial yang dibina secara berperingkat. Model ini mungkin tidak menghasilkan impak segera, tetapi ia mencipta jaringan kepercayaan yang lebih stabil apabila momentum politik akhirnya muncul.
Kemenangan Datuk Dr Aliakbar dalam PRN 2025 memperlihatkan hasil pendekatan ini. Beliau bukan calon yang bergantung kepada modal politik besar atau janji yang ditaburkan semasa kempen pilihan raya. Sebaliknya, penerimaan terhadap beliau mencerminkan keupayaan personaliti, integriti dan rekod interaksi masyarakat setempat untuk menembusi stereotaip politik lama terhadap PAS. Keputusan pengundi menunjukkan bahawa segmen tertentu masyarakat Sabah kini menilai PAS berdasarkan kapasiti kepimpinan dan keupayaan perkhidmatan, bukan semata-mata identifikasi ideologi.
Namun, kemenangan ini juga perlu dibaca dengan berhati-hati. PAS Sabah masih berada dalam fasa awal pembinaan legitimasi. Kejayaan sulung ini bukan jaminan kepada kelangsungan politik jangka panjang, tetapi ia dilihat sebagai suatu langkah menyediakan ruang strategik untuk menilai semula strategi, memperkukuh budaya organisasi dan memperluas kehadiran dalam kerangka politik negeri yang unik. Sudah pasti, PAS yang dikenali dengan parti politik yang berdisiplin, akan terus mengekalkan integriti dan kepercayaan rakyat setelah mula memperoleh kuasa melalui sistem tarbiyahnya.
PRN 2025 membuktikan bahawa Sabah bukan lagi medan yang tidak boleh ditembusi bagi PAS. Namun, masa depan parti di negeri ini bergantung kepada sejauh mana ia dapat mengekalkan pendekatan kerja berasaskan khidmat, integriti dan jaringan sosial yang terbukti berkesan sebelum ini. Untuk kekal relevan, PAS Sabah memerlukan strategi yang mampu menyeimbangkan idealisme dakwah dengan keperluan governans negeri, satu kombinasi yang menjadi penentu utama kepercayaan rakyat pada masa depan.
DR MUKHTARUDDIN MUSA
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) yang berkhidmat di Yayasan Strategik Lestari
Pemerhati politik semasa – HARAKAHDAILY 2/12/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











