‘Sauna gay’: Bukti perundangan sivil buntu, perlu Syariah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Insiden pelepasan reman terhadap 171 individu warga Malaysia yang ditahan dalam serbuan ‘sauna gay’ membuktikan keterbatasan undang-undang sivil dalam menangani jenayah moral yang bersifat ‘tanpa mangsa’ (victimless crime).

- Advertisement -

​Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, kegagalan mendapatkan perintah reman atas alasan ‘tiada mangsa mengaku’ adalah senario yang telah dijangka apabila undang-undang Syariah diketepikan dan bidang kuasanya dicabar.

​Beliau yang juga pengamal undang-undang menegaskan, situasi ini mengesahkan hujahnya bahawa jenayah sivil dan jenayah Syariah mempunyai asas dan elemen pembuktian yang jauh berbeza.

​“Sekarang di hadapan kita masalah meruncing. Polis tangkap tapi tidak boleh dakwa. Di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan (hubungan sejenis suka sama suka) sukar mendapat bukti, manakala di bawah Seksyen 377C tiada mangsa yang mengaku pula,” katanya.

​Terdahulu, media melaporkan permohonan reman terhadap 171 lelaki warga Malaysia yang ditahan di sebuah kelab hiburan songsang ditolak oleh mahkamah susulan tiada individu tampil mengaku menjadi mangsa dalam kejadian tersebut.

​Mengulas lanjut, Yusfarizal berkata, kelompangan ini menjadi lebih kritikal pasca keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang membatalkan pelbagai enakmen jenayah syariah negeri.

​Ujarnya, apabila kuasa negeri untuk menggubal undang-undang moral dibatalkan atas alasan ‘bertindih’ dengan kuasa Parlimen, penguatkuasaan terhadap maksiat menjadi lumpuh.

​“Kami pernah berhujah, jenayah syariah tidak sama dengan jenayah sivil. Jenayah syariah seperti liwat, lesbian atau minum arak tidak perlukan ‘mangsa’. Tetapi mahkamah tidak setuju dan menyatakan ia sama.

​“Jika penguat kuasa agama tidak boleh tangkap kerana enakmen dibatalkan dan polis pula terikat dengan prosedur sivil yang memerlukan mangsa, akhirnya pelaku bebas.

​“Kesalahan liwat di negeri lain juga berisiko dibatalkan kerana keputusan mahkamah tentang bidang kuasa itu mengikat. Hanya tunggu masa sahaja untuk dicabar,” jelasnya.

​Justeru, beliau menegaskan penyelesaian tuntas adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan dan memperkasakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dengan segera.

​“Sebab itulah kena perkasakan kuasa gubalan negeri dan Mahkamah Syariah. Kena buat sekali gus untuk kawal moral orang Islam. Orang lain yang tidak mahu moralnya dikawal, lantaklah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/12/2025

- Advertisement -