Sejarah PAS Pulau Pinang akan berulang di Sabah?

- Advertisement -

SELEPAS Ustaz Zabidi Ali kalah kepada Anwar Ibrahim pada 1982, tiada lagi wakil rakyat PAS di Pulau Pinang untuk tempoh hampir 25 tahun. Ustaz Zabidi adalah satu-satu wakil rakyat PAS di Pulau Pinang sejak 1959. Beliau memenangi kerusi DUN Sungai Dua pada 1974 dengan ‘menumpang tuah’ PAS berada dalam BN. Pada 17 April 1977, Ustaz Zabidi dilantik sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tetapi ia berakhir dengan penyingkiran PAS dari BN pada 13 Disember 1977. Dalam PRU 1978, Ustaz Zabidi berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Dua dan merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh. Pada 1982, Ustaz Zabidi tewas, sejak itu PAS tidak lagi mempunyai kerusi wakil rakyat di Pulau Pinang.

Kelahiran semula wakil rakyat PAS di Pulau Pinang berlaku pada 29 November 1999, apabila Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Hamdan Abdul Rahman memenangi kerusi DUN Permatang Pasir. Kerusi ini kemudiannya dipertahankan oleh Datuk Mohd Salleh Man sejak 2003, setelah kematian Hamdan. Pada 2018, Ustaz Yusni Mat Piah pula memenangi DUN Penaga.

- Advertisement -

Kemunculan anak-anak PAS di Pulau Pinang sejak 1999 telah meletakkan PAS sebagai bintang politik yang baru di negeri ini, menyaingi pengaruh Umno yang bergabung dengan Gerakan dan MCA.

Kejutan besar berlaku pada PRU 2023 apabila PAS menang 7 kerusi DUN iaitu di Sungai Dua, Pinang Tunggal, Penaga, Permatang Berangan, Permatang Pasir, Sungai Bakap dan Pulau Betong. PAS telah muncul sebagai kuasa politik yang baru di Pulau Pinang setelah kelahiran ADUN pertama PAS pada 1974 dan kelahiran semula pada 1999.

Di Sabah, PAS yang ditubuhkan pada 19 Mei 1986 akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun PAS enam bulan lagi. PAS bertanding dalam hampir setiap kali pilihan raya, tetapi tidak pernah menang. Pada PRN 2020, PAS tidak menyertai pilihan raya, tetapi ‘menumpang tuah’ pakatan politik PN-GRS, lalu Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan dinamakan sebagai ADUN Lantikan. Beliau berkhidmat sebagai ADUN Lantikan selama satu penggal.

Pada 29 November 2025, mengulangi kelahiran semula ADUN Pulau Pinang, Datuk Dr Aliakbar berhasil menjadi anak sulung PAS di Sabah. Setelah 40 tahun! Di Pulau Pinang, mereka menunggu 24 tahun dengan seorang ADUN setiap penggal, kemudian membuat kejutan besar pada 2023.

Sekiranya ADUN Karambunai dapat mengekalkan prestasinya, mungkin dalam tempoh 25 tahun daripada sekarang, PAS akan memiliki 10 orang ADUN di Sabah dalam PRN 2050.

Ketika PAS Pulau Pinang melahirkan semula ADUN pada 29 November 1999, DAP bukan sahaja gagal menggapai Projek Tanjung 3, tetapi turut kehilangan jawatan Ketua Pembangkang kepada Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor. Tahun 1999 adalah pencapaian terburuk DAP dalam sejarah pilihan rayanya.

Di Sabah, ketika ADUN sulung PAS dilahirkan di Karambunai pada 29 November 2025, DAP juga telah mengalami kekalahan teruk dan terburuk dalam PRN Sabah. Walaupun turun sebagai parti kerajaan di peringkat Pusat, DAP tewas di semua 8 kerusi DUN yang ditandinginya.

Ternyata ada beberapa persamaan ciri politik bagi kedua-dua negeri yang sedang dituntut ini. Pulau Pinang dituntut oleh Kedah, Sabah dituntut oleh Sulu. Kedua-duanya menjadi tapak yang subur untuk PAS, sehingga pencapaian PAS dalam PRN pada 29 November 2025 menjadi pencapaian politik terbaik PAS sepanjang tahun 2025 dan menjadi igauan buruk kepada PH-DAP-BN, seperti mana hancurnya BN di Pulau Pinang. Jika PAS Sabah dapat bergerak dengan cemerlang untuk melangkah masuk ke usia 40 tahun kedua, dalam tempoh 25 tahun lagi, PAS akan menjadi parti yang dominan di Sabah.

DR MOHD FADLI GHANI
Pengasas Islamic Institute of Independence Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 1/12/2025

- Advertisement -