
KALABAKAN: PAS Negeri Sabah menzahirkan kesyukuran atas kemenangan bersejarah calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Sabtu lalu.
Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid berkata, kemenangan sulung sejak 1986 itu disifatkan sebagai anugerah yang amat disyukuri dan tercapai dengan pertolongan Allah SWT.
Calon PN bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mencatat sejarah apabila berjaya menewaskan 10 calon lain termasuk penyandang daripada Barisan Nasional (BN) serta pencabar terdekat daripada Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dr Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri memperolehi 7,054 undi menang dengan majoriti 365 undi.
“Kemenangan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu rakyat berbilang kaum, agama dan budaya. Ia menunjukkan bahawa rakyat semakin menolak tanggapan negatif terhadap PAS,” ujar Sahar dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa budaya politik berakhlak dan penyelesaian berorientasikan solusi yang dibawa PAS-PN menjadi pemangkin sokongan rakyat terhadap gelombang perubahan itu.
Katanya, lima DUN lain yang turut menunjukkan peningkatan undi yang ketara walaupun belum capai kemenangan iaitu Merotai, Tanjung Batu, Balung, Kunak dan Petagas.
Sahar turut merakamkan penghargaan kepada pengundi, petugas dan seluruh jentera parti yang telah bekerja keras tanpa mengira masa dan keadaan.
“PAS Sabah komited untuk mengisi kemenangan ini demi kesejahteraan rakyat Karambunai dan memastikan bahawa amanah itu akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 1/12/2025











