
KETIKA menerima keputusan kemenangan PAS atau PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai dalam PRN Sabah baru ini, hanya lafaz syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah, tuhan sekalian alam.
Harus disedari, kemenangan sulung PAS bukanlah kemenangan yang dicapai oleh kita dalam tempoh kempen PRN, malah bukan juga kerja kita dalam masa lima tahun dahulu. Ia adalah hasil perjalanan panjang sejak usaha awal menubuhkan PAS Sabah. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa usaha menubuhkan PAS Sabah sudah bermula pada tahun 1961 di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy.
Ketika itu, PAS sudah melihat Sabah sebagai sebahagian nadi perjuangan umat dan negara. Namun menjadi sunnah perjuangan, usaha baik ini pasti akan mendepani cabaran di awalnya, dan PAS tidak terkecuali. Sebagai catatan sejarah, cubaan menghidupkan PAS Sabah sudah bermula sejak 1964, 1969 dan tahun-tahun berikutnya, tetapi tekanan politik dan kekurangan sumber menjadikan perjuangan itu terhenti.
Walaupun ia mengalami keadaan sebegitu, semangat pimpinan kita yang terdahulu tidak pernah padam. Mereka menyedari bahawa perjuangan ini bukanlah sebuah perjuangan yang dihamparkan dengan permaidani, namun perlu melalui jalan yang berliku. Kita percaya kepada janji Allah dan meyakini bahawa Allah sentiasa melihat kepada kerja baik yang dilakukan:
ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّۭا فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ وَٱلْقُرْءَانِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ ۚ فَٱسْتَبْشِرُوا۟ بِبَيْعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعْتُم بِهِۦ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ ١١١
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” [Surah At Taubah: 111]
Detik kebangkitan sebenar datang pada tahun 1986 apabila PAS menghantar tokoh-tokoh pusat dan akhirnya melancarkan PAS Sabah secara rasmi pada 19 Mei 1986 di Hotel Hyatt, Kota Kinabalu. Maka, bermula dari saat itu, lahirlah aktivis-aktivis tempatan seperti Hamzah Abdullah, Cikgu Alias Tijad, Mohd Aminuddin Aling dan ramai lagi yang menjadi tulang belakang awal gerakan ini.
Maka, ketika kita bersyukur dan bergembira dengan kelahiran ADUN sulung dari PAS yang dipilih rakyat, kemenangan 2025 tidak seharusnya melalaikan kita dari menghargai dan berterima kasih kepada pengorbanan generasi yang membina ketika PAS tidak punya apa-apa.
Kini amanah kita ialah mempertahankan kemenangan ini dengan integriti, memperluaskan khidmat, dan menjadikan PAS Sabah sebuah parti yang benar-benar dipercayai rakyatnya.
DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
1 Disember 2025 – HARAKAHDAILY 1/12/2025












