Ahli PAN diputuskan bersalah fitnah Ustaz Dusuki

Wajib mohon maaf, bayar ganti rugi RM300,000

- Advertisement -

IPOH: Mahkamah Ipoh memutuskan bahawa pendakwah, Ustaz Dr Ahmad Dusuki Abd Rani berjaya dalam tuntutan saman fitnah yang difailkannya terhadap ahli PAN, Miqdad Zakaria berhubung dakwaan menuduh beliau menyebarkan hadis palsu.

Keputusan itu diumumkan selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan sepanjang prosiding yang berlangsung lebih 40 jam, di sini hari ini.

Menurut peguam Ustaz Dusuki, Jamil Yaacob dari Tetuan Srihana Mohamad & Partners, seramai empat saksi telah terlibat bagi perbicaraan kes tersebut.

Antara yang memberikan keterangan ialah Ahli Lajnah Tahqiq Hadith Kementerian Dalam Negeri, Prof Madya Dr Najahuddin Lateh, kedua-dua pihak plaintif, defendan serta saksi di pihak Miqdad, Prof Dr Rozaimi Ramlee.

Miqdad telah diwakili oleh peguam, Mohammad Faiz Fadzil yang juga merupakan Setiausaha Agung PAN.

Kes berkenaan berpunca daripada kenyataan terbuka Miqdad di media sosial dengan mendakwa bahawa Ustaz Dusuki gemar menyebarkan hadis tidak sahih iaitu suatu dakwaan yang ditulis sebelum Pilihan Raya Umum 2018.

Mahkamah dalam penghakimannya hari ini memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan berlaku fitnah terhadap dirinya.

Sehubungan itu, Miqdad diperintahkan membayar kos berjumlah RM6,000 dan ganti rugi sebanyak RM300,000, selain perlu membuat permohonan maaf secara terbuka seperti dituntut plaintif. – HARAKAHDAILY 1/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -