Hanya mangsa yang berpindah layak daftar di PPS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan hanya penduduk yang benar-benar terjejas banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja layak didaftarkan sebagai mangsa banjir.

- Advertisement -

Beliau berkata, jika benar wujud perbuatan mendaftar sebagai mangsa banjir tanpa menginap di PPS, tindakan itu tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Menurut beliau, tujuan PPS diwujudkan adalah untuk menempatkan penduduk yang terpaksa berpindah akibat banjir.

“Sekiranya masih selamat di rumah, penduduk tidak seharusnya mendaftar diri di PPS. Berilah peluang kepada mereka yang benar-benar terjejas untuk menginap di PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial di sini, mengulas laporan berlaku lebihan makanan akibat mangsa hanya mendaftar tetapi tidak hadir ke PPS.

Beliau turut menyentuh keadaan banjir di Kampung Kual sekitar Banggol Pial, sambil menunjukkan bahawa PPS tersebut sangat selesa kerana kawasan yang luas dan jumlah mangsa tidak ramai.

Katanya, kanak-kanak juga dilihat gembira kerana layanan baik, makanan mencukupi dan pengurusan PPS berjalan teratur.

Beliau mengingatkan mangsa agar terus berwaspada walaupun banjir gelombang pertama semakin surut.

“Penduduk di kawasan yang sering dinaiki air diingatkan bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan paras air,” ujarnya.

Beliau turut merujuk keadaan lebih teruk di selatan Thailand sebagai peringatan agar rakyat tidak leka.

“Berpindah jangan pada waktu malam. Ikuti arahan pihak berkuasa kerana PPS menyediakan pelbagai kemudahan serta rawatan,” tambah beliau.

Menteri Besar berharap penduduk terus berhati-hati, peka terhadap keadaan sekeliling dan segera berpindah jika diarahkan pihak keselamatan bagi mengelakkan risiko kepada nyawa. – HARAKAHDAILY 1/12/2025

- Advertisement -