
KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mendesak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membentangkan laporan pulangan pelaburan (ROI) mengikut negeri, khususnya bagi negeri Kedah.
Jelas beliau ini bagi memastikan setiap ringgit pelaburan benar-benar memberi pulangan fiskal kepada negara serta manfaat nyata kepada rakyat.
Awang Hashim mempersoalkan keberkesanan MITI dalam menilai impak sebenar pelaburan berbanding sekadar mengumumkan angka-angka besar di atas kertas.
Beliau merujuk kepada jumlah keseluruhan peruntukan MITI bagi tahun 2026 sebanyak RM1.897 bilion, termasuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Daripada jumlah itu katanya, RM190.68 juta diperuntukkan khusus untuk pengukuhan pelaburan berkualiti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerima RM186.79 juta, hampir keseluruhan peruntukan program pelaburan MITI.
“Berapakah pulangan cukai persekutuan daripada pelaburan di Kedah? Berapa jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan? Berapa kadar kebergantungan pekerja asing? MITI kena jelaskan,” soal beliau.
Menurut beliau, Kedah kini menjadi tumpuan pelaburan utama negara melalui Kulim Hi-Tech Park (KHTP), National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NACO/NAICO), Pelabuhan Yan, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), sektor automotif dan aeroangkasa bawah MITI.
Namun katanya, tanpa laporan ROI negeri, rakyat tidak dapat melihat pulangan fiskal, manfaat pekerjaan bergaji tinggi, dan pemindahan teknologi yang sepatutnya berlaku.
Beliau bimbang Kedah hanya menjadi ‘industrial enclave’ lokasi kilang kos rendah tanpa peningkatan ekonomi setempat.
“Kedah perlu diposisikan sebagai ‘gateway industri’ strategik wilayah utara dan Asia Tenggara, bukan sekadar jadi tapak kilang murah,” ujarnya ketika membahaskan Bajet 2026 Peringkat Jawatankuasa Kementerian MITI di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Awang turut menyentuh keganjilan angka sasaran pelaburan MITI melibatkan sasaran pelaburan diluluskan tahun 2026 sebanyak RM7 bilion di mana turun daripada RM6 bilion pada 2024.
“Sasaran realisasi pelaburan sebanyak 70 peratus, lebih rendah berbanding rekod sebenar 2024 iaitu sebanyak 92 peratus,” jelasnya seni perbelanjawan bukan sekadar mengumumkan pelaburan masuk, tetapi mengoptimumkan pulangan kepada negara.
Awang turut menyentuh kegagalan program latihan di bawah MITI melibatkan peruntukan pembangunan industri dan daya saing 2026 iaitu sebanyak RM96.92 juta, termasuk Malaysia Productiviti Corporation (MPC) bernilai RM46.56 juta.
Namun katanya, kadar tenaga mahir negara masih statik pada 26 peratus, jauh daripada sasaran 35 peratus menjelang 2030 serta 40 peratus menjelang 2033.
“Dengan strategi sama lebih 10 tahun, apakah jaminan kita dapat capai sasaran? Strategi kena ‘review’ dan ‘revise’,” soal beliau turut membangkitkan kelemahan kritikal dalam pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dikatanya semakin jauh daripada tujuan asal.
Menurut beliau, program SLDN kini banyak digunakan untuk sektor rendah nilai seperti manik dan minikur, jahitan, salon kecantikan dan pengawal keselamatan, sedangkan negara memerlukan tenaga mahir dalam sektor strategik.
Awang menegaskan bahawa sepatutnya SLDN memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi termasuk semikonduktor, aeroangkasa, maritim dan AI manufacturing, bagi memastikan Malaysia mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang selari dengan keperluan industri masa depan.
“Program latihan ‘era COVID’ tidak wajar diteruskan sehingga hari ini. Takkanlah ‘skill’ masa COVID nak dibawa sampai hari ini? Polisi mesti dibincang semula,” ujarnya.
Datuk Awang turut memberi amaran mengenai penyalahgunaan dana kerajaan apabila melihat dana insentif latihan semakin meningkat, tetapi kualiti kemahiran peserta semakin menurun.
Katanya, banyak syarikat hanya perlu menyediakan tempat latihan tanpa sebarang komitmen lain, sedangkan tiada jaminan pekerjaan selepas tamat program, menyebabkan ramai peserta pulang menganggur.
Lebih membimbangkan, terdapat syarikat yang menggunakan pelatih sebagai ‘cheap labour’ jangka pendek, sekali gus menjejaskan matlamat sebenar program latihan tersebut.
“SLDN mesti diaudit pihak ketiga yang bebas. Audit lapangan diperlukan, bukan sekadar laporan dalaman,” katanya.
Awang Hashim mencadangkan agar MITI mengetuai satu penyelarasan nasional bagi memperbetulkan hala tuju latihan kemahiran negara.
Cadangan tersebut merangkumi usaha untuk menyusun semula atau melakukan remapping terhadap semua program latihan berinsentif yang dilaksanakan di pelbagai kementerian dan GLC, bagi memastikan tiada lagi pertindihan program yang membazirkan sumber.
Langkah ini juga katanya, penting supaya output latihan benar-benar selari dengan keperluan tenaga mahir negara, sekali gus mengukuhkan ekosistem pembangunan modal insan yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
“Belanjawan habis, tenaga mahir tidak meningkat. ‘Output’ tidak diukur dengan jelas,” jelasnya. Saya mohon penjelasan kerajaan terhadap apa yang saya bangkitkan,” katanya. – *HARAKAHDAILY 1/12/2025*











