Ibu curiga anak maut semasa sertai latihan PALAPES

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah NGO PAS Pusat menerima aduan daripada seorang ibu yang menzahirkan kecurigaan terhadap kematian anaknya semasa menyertai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, hadir membuat aduan kepada Lajnah NGO PAS Pusat bagi mencari keadilan terhadap kematian anaknya dalam satu pertemuan, di sini malam tadi.

“Syamsul Haris adalah pelajar UTM, dan kematian beliau amat mencurigakan,” ujarnya Timbalan Pengerusi Lajnah NGO PAS Pusat, Razman Zakaria yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak dalam media sosial miliknya.

Menurut Razman, ibu Allahyarham meminta masyarakat membantu mendesak agar keadilan dapat ditegakkan dan mempersoalkan bagaimana insiden itu boleh berlaku.

“Ibu almarhum Syamsul Haris meminta masyarakat memberi tekanan agar keadilan dapat diberikan terhadap kematian anaknya. Bantuan dipohon daripada semua netizen untuk mempersoalkan bagaimana perkara ini boleh berlaku, seperti dalam kes (adik) Zara Qairina dan beliau juga,” jelasnya.

Beliau berkata, arahan mahkamah telah dikeluarkan sebelum ini untuk menggali semula kubur Allahyarham selepas sebulan.

“Pengakuan daripada ibunya sendiri menunjukkan bahawa jasad Allahyarham masih berdarah dan tiada sebarang pereputan berlaku ke atas jenazah tersebut.

“Kecederaan pada leher arwah terungkap dalam _post-mortem_ kedua, namun keadilan masih belum tiba. Oleh itu, kami menyeru rakyat untuk bersuara agar keadilan ditegakkan dan kebenaran terbongkar,” katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa bedah siasat kedua mengesahkan pelatih PALAPES UTM, Allahyarham Syamsul Haris, meninggal dunia akibat kecederaan pada leher yang dialaminya semasa masih hidup.

Peguamnya, Datuk Naran Singh, berkata kecederaan itu membuktikan wujud punca kematian yang memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Beliau menggesa Kementerian Pertahanan dan polis menubuhkan pasukan khas bagi mempercepatkan tindakan selepas laporan lengkap bedah siasat diterima.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih PALAPES itu digali semula, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Syamsul Haris, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. – HARAKAHDAILY 1/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -