PAS lapor polis SetPol PM terima RM700,000

Tamparan besar kepada pentadbiran PMX

- Advertisement -

TAWAU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah membuat satu laporan polis bagi mendesak supaya polis menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang muncul dalam video yang tersebar beberapa hari lalu.

Ia berkenaan Setiausaha Politik (SetPol) Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dikatakan menerima wang beberapa kali sehingga hampir mencecah RM700,000 daripada seorang ahli perniagaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata walaupun SetPol Perdana Menteri itu telah meletakkan jawatan, tindakan itu tidak melepaskannya daripada tanggungjawab untuk disiasat dan memastikan siasatan dilaksanakan dengan adil.

“Kami sangat-sangat ‘concern’ ialah keterlibatan Perdana Menteri sendiri di dalam isu ini kerana yang menerima wang ini didakwa Setiausaha Politik beliau sendiri dan ini bukan Setiausaha Politik biasa tetapi Setiausaha Politik yang paling kanan. 

“Kita melihat apabila perkara ini berlaku, ia sepatutnya menjadi suatu ‘benchmark’ ataupun menjadi suatu perkara yang diberikan perhatian oleh seluruh agensi penguatkuasaan daripada seluruh negara,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas pihaknya membuat laporan polis bersama Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Ibn Helmi dan Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah dalam satu sidang media di Balai Polis di sini, hari ini.

Tambah Ustaz Ahmad Fadhli, semalam turut tersebar video pendedahan daripada ahli perniagaan, Albert Tei yang merupakan sambungan video asal mengenai keterlibatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam isu tersebut sejak awal.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mendesak supaya SPRM dan Tan Sri Azam Baki tidak melibatkan diri dalam siasatan berkenaan dan menegaskan keperluan mewujudkan satu badan lain, termasuk kemungkinan Suruhanjaya Diraja atau badan bebas lain, untuk menyiasat perkara itu sehingga ke akar umbi.

Beliau turut memaklumkan laporan polis yang dibuat itu akan diteruskan di seluruh negara bagi mendesak siasatan dilaksanakan sehingga ke akar umbi.

“Kita menggerakkan laporan polis ini di seluruh negara dan setakat ini sudah ada beberapa laporan polis telah dibuat terutama di Terengganu, di Negeri Sembilan dan insya-Allah hari ini dan esok akan diteruskan dengan beberapa laporan polis lagi terhadap kes yang sama. 

“Dan saya dimaklumkan bahawa NGO-NGO (badan bukan kerajaan) juga akan turun untuk membuat laporan polis, mendesak siasatan dan juga membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat buat siasatan dengan adil,” tegasnya.

Beliau menegaskan pendirian PAS adalah konsisten sejak dahulu untuk melawan rasuah sama ada parti itu berada di pihak pembangkang atau ketika menjadi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, rekod PAS terbukti bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah. 

Tamparan besar kepada pentadbiran PMX

Sementara itu, Nadzir Helmi berkata pendedahan dibuat seorang ahli perniagaan itu merupakan satu tamparan besar kepada pemerintahan Madani dan kepimpinan Perdana Menteri.

Menurutnya kumpulan yang sebelum ini berpuluh tahun melaungkan reformasi dan antirasuah kini berdepan tuduhan yang ‘tepat kena ke muka Perdana Menteri itu sendiri’ apabila individu yang dikatakan menerima wang tersebut adalah Setiausaha Politik Kanan.

“Tuan-tuan kena tahu Setiausaha Politik Kanan ini apa bayangannya? Kalau Perdana Menteri tak ada, inilah orangnya dalam pejabat Perdana Menteri. 

“Dia menjadi orang nombor dua Perdana Menteri dalam pejabat. Maka apa juga yang terkait dengan orang seperti ini akan terkena kepada Perdana Menteri itu sendiri,” bidasnya.

Menurutnya, laungan reformasi, antikorupsi dan penentangan rasuah kini ‘betul-betul terpalit dan tercalit najis itu di muka Perdana Menteri’.

Nadzir berkata Pemuda PAS juga sedia maklum mengenai laporan polis dibuat oleh bekas Setiausaha Politik yang sedang tertuduh berhubung video tular berkenaan, namun pihaknya meragui laporan itu kerana tidak merujuk kepada kemungkinan salah laku dilakukan sendiri oleh individu terbabit.

Menurutnya, laporan berkenaan hanya menyentuh ‘rumors dan laporan politik’ yang tidak menjelaskan secara tuntas apa yang berlaku.

“Dan yang ketiga, kita juga mendapat pemakluman penafian seorang wanita yang terlibat terhadap kes yang sedang hangat diperkatakan ini juga masih lagi diragui sebab tidak ada lagi satu penafian tuntas yang dibuat,” jelasnya.

Beliau turut merujuk kenyataan media Perdana Menteri yang mendesak supaya siasatan telus dijalankan, namun menegaskan kedudukan Setiausaha Politik Kanan yang dikaitkan dengan Perdana Menteri sejak puluhan tahun sepatutnya menuntut tindakan lebih tegas.

“Sepatutnya Perdana Menteri perlu mengambil keputusan untuk sama ada berehat daripada jawatan Perdana Menteri itu sendiri ataupun letak jawatan,” tegasnya.

Nadzir berkata isu itu bukan lagi menjadi perhatian rakyat dalam negara sahaja, bahkan turut mendapat liputan antarabangsa yang sekali gus memberi kesan kepada persepsi luar terhadap pentadbiran Malaysia.

“Saya yakin kalau perkara ini tidak dibendung, tidak diambil tindakan dengan segera, ia akan menjejaskan bukan hanya imej dalam negara tetapi imej di luar negara, apatah lagi melibatkan pelabur-pelabur yang mungkin akan rasa kurang yakin terhadap pentadbiran negara ini,” kesalnya.

Beliau menegaskan Dewan Pemuda PAS akan terus memantau kes berkenaan dan berkata Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS akan terus mendesak penjelasan bukan hanya di luar, tetapi juga di Parlimen. – HARAKAHDAILY 27/11/2025

- Advertisement -