Karambunai: PN ada penyelesaian masa hadapan

Datuk Dr Aliakbar Gulasan bersama petugas PERIKATAN NASIONAL menyantun masyarakat DUN Karambunai.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: “Karambunai perlukan masa hadapan yang lebih baik dan penyelesaian itu ada pada PERIKATAN NASIONAL,” kata Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Menurut beliau menerusi catatan di laman sosialnya, hari ini, Karambunai masih menyimpan keajaiban yang wajib dipertahankan.

“Kemodenan secara zahirnya semakin membuatkan bumi yang kita diami ini semakin tenat.

“Beruntunglah, Karambunai masih menyimpan keajaiban yang wajib dipertahankan,” ujar calon PN bagi DUN Karambunai itu.

Beliau berkata, Karambunai masih mempunyai pesisir pantai yang mengasyikkan serta flora dan fauna yang mempesona di Bukit Merah.

Tambahnya, laut dan hutan masih lagi membekalkan sumber semulajadinya yang melimpah ruah.

“Namun, semua khazanah yang sangat berharga ini akan semakin terancam sekiranya kita meremehkan nilai kelestariannya,” ujarnya.

Menurut Dr Aliakbar, tanpa tindakan, keindahan alam yang menjadi identiti rakyat Karambunai bakal hilang sedikit demi sedikit.

“Keindahan ini perlu dikongsi agar setiap yang melihat keindahan ini dapat menjaganya,” kata bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu lagi.

Maka, ujarnya inisiatif PN memperkenalkan Karambunai Tourism Wonders sangat relevan,” tambahnya.

Beliau berkata, inisiatif Karambunai Tourism Wonders bukan sahaja dapat mempromosi keunikan ekopelancongan di Karambunai, malah secara tidak langsung, usaha itu dapat menjadi pemangkin kepada setiap orang agar sentiasa mempunyai sikap cintakan alam sekitar.

Menurutnya lagi, setiap program dirangka untuk mendidik pelancong, menghidupkan semula ekonomi setempat dan memastikan pembangunan berlaku secara berhemah.

Jelas beliau, melalui Karambunai Tourism Wonders, Karambunai yang bukan hanya indah untuk dilihat, tetapi dipertahan dengan penuh cinta.

Justeru, ujarnya Karambunai memerlukan masa hadapan yang lebih baik dan penyelesaian itu ada pada PN.

Pada Pilihan Raya Negeri kali in, beliau berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar. – HARAKAHDAILY 27/11/2025

- Advertisement -