Optimis anak muda dorong perubahan negeri Sabah

Hasan Haris
- Advertisement -

KALABAKAN: Golongan anak muda kini dilihat semakin optimis dalam menghadapi masa depan negeri ini meskipun berdepan pelbagai cabaran semasa.

- Advertisement -

Keyakinan itu terserlah melalui penglibatan aktif mereka dalam program masyarakat, wacana anak muda dan platform kepimpinan setempat.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Merotai, Hasan Haris berkata, rakyat mesti memilih pemimpin yang amanah bagi memastikan masa depan negara, khususnya anak muda, terus terpelihara.

“Optimisme generasi muda diperkukuh oleh kesedaran mereka terhadap kepentingan memilih pemimpin yang amanah dan berprinsip,” katanya dalam satu ceramah kelompok di Unit Daerah Mengundi (UDM) Semarak, semalam.

Tambahnya, anak muda hari ini lebih berani menyuarakan pandangan yang menyentuh masa depan negara termasuk pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Perubahan hanya dapat dicapai apabila rakyat memberi mandat kepada pemimpin yang benar-benar komited memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Semangat optimis ini dilihat sebagai pemangkin kepada gerakan masyarakat yang lebih matang dan bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju negara,” ujarnya.

Kata beliau, dengan penglibatan aktif anak muda, negara ini khususnya negeri Sabah diyakini mampu melangkah lebih jauh ke arah pembinaan masa depan yang stabil, progresif dan berdaya saing.

“Saya menyeru kepada semua khususnya anak muda, berilah peluang saya untuk membawa Merotai ke arah yang lebih baik. Terjemahkannya dalam kertas undi pada 29 November ini dengan mengundi saya calon nombor 2 mewakili PERIKATAN NASIONAL,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -