Banjir Perlis kritikal: 5,933 mangsa telah dipindahkan

Operasi menyelamat dipertingkatkan

- Advertisement -

KANGAR: Situasi banjir di Perlis terus membimbangkan apabila jumlah mangsa meningkat kepada 5,933 orang melibatkan 1,755 keluarga yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat hari ini.

- Advertisement -

Bencana yang bermula sejak Ahad lalu kini memasuki hari ketiga, dengan keadaan air masih belum menunjukkan tanda-tanda surut dan sebanyak 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri melibatkan tiga kawasan Parlimen.

Di Parlimen Padang Besar sebanyak lapan PPS telah dibuka melibatkan Sekolah Kebanggsaan (SK) Lubok Sireh, SK Felda Mata Ayer, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, SK Guar Nangka, SK Batu Bertangkup, Masjid Nurul Husna Wang Kelian, SK Bukit Keteri dan SK Beseri.

Manakala Parlimen Arau sebanyak empat PPS telah dibuka melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Arau, Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kubang Gajah, Dewan Ilmu UniMAP Ulu Pauh dan SK Tambun Tulang.

Bagi Parlimen Kangar pula sebanyak lapan PPS dibuka melibatkan Dewan Warisan, Dewan 2020, Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, SK Panggau, SK Behor Empiang, SK Jalan Raja Syed Alwi, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan SK Putra.

Pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat digerakkan bagi membantu mangsa, selain mengatur operasi logistik serta pengagihan makanan.

Menteri Besar bersama seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pimpinan tempatan turun padang bagi memantau keadaan dan membantu mengurus operasi banjir di lapangan.

Turut digerakkan ialah aset Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang kini aktif menjalankan misi menyelamat, bantuan makanan, dapur rakyat, logistik serta sumbangan banjir.

Sebanyak tiga bilik operasi Khidmat Malaysia telah diaktifkan sejak banjir bermula, melibatkan parlimen Padang Besar, Arau dan Kangar.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa tanpa kompromi.

“Dimohon semua rakyat dapat meningkatkan kepekaan dan mengikut arahan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah disediakan,” ujarnya.

Beliau turut menasihati penduduk di kawasan berisiko agar segera berpindah apabila diarahkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Banjir kali ini disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 15 tahun, dan semua pihak kini sedang berganding bahu memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -