Banjir: Guna ‘lori hantu’, desak KDN sedia aset sesuai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak menyegerakan pembinaan balai polis baharu serta menyediakan aset logistik bersesuaian bagi menghadapi musim tengkujuh di Rantau Panjang, memandangkan anggota keselamatan terpaksa menggunakan kenderaan tidak sepatutnya untuk operasi menyelamat.

- Advertisement -

​Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mendedahkan, situasi banjir di kawasannya sering menyebabkan kenderaan biasa tidak boleh digunakan, memaksa penggunaan lori kontraktor atau dikenali penduduk sebagai ‘lori hantu’.

​“Di Rantau Panjang, kenderaan biasa tidak boleh digunakan semasa musim banjir. Terpaksa pihak kami menggunakan lori kontraktor, istilah orang kampung panggil ‘lori hantu’ untuk operasi menyelamat terutama mengangkut petugas keselamatan.

​“Lori biasa mungkin tidak selamat di dalam arus yang deras dan dalam. Jadi saya ingin tahu apakah persiapan telah diberi kepada anggota kita untuk memastikan logistik mencukupi demi keperluan penduduk,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

​Siti Zailah turut mempersoalkan status pembinaan Balai Polis Rantau Panjang yang baharu memandangkan balai sedia ada sering ditenggelami air, selain meminta penjelasan mengenai penambahbaikan sistem telekomunikasi PDRM yang sering terputus ketika bencana.

​Dalam pada itu, beliau menuntut penjelasan kerajaan mengenai status terkini projek pembesaran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

​“Saya ingin tahu berapakah peruntukan yang telah diluluskan, garis masa pelaksanaan dan apakah halangan teknikal yang menyebabkan kelewatan projek ini.

​“Persiapan pintu masuk sempadan mesti diperkemas dengan keperluan mesin pengimbas kontena, CCTV dan dron untuk memastikan penyeludupan dan ketirisan rasuah tidak terus berlaku,” tegasnya.

​Menyentuh mengenai penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSP), Siti Zailah meluahkan kebimbangan mengenai nasib pegawai daripada Jabatan Imigresen dan Kastam yang dipinjamkan ke agensi tersebut.

​Beliau meminta jaminan bahawa tiada pegawai yang akan diberhentikan kerja sekiranya mereka enggan menerima tawaran opsyen ke skim baharu tersebut.

​“Adakah benar ada peraturan yang mengetatkan supaya jika mereka tidak menerima tawaran opsyen skim AKSP, pegawai ini boleh diberhentikan?

​“Jika berlaku, ini satu perkara yang sangat malang. Kita simpati dengan nasib 4,144 pegawai Imigresen dan lebih 1,053 pegawai Kastam serta agensi lain yang terlibat,” ujarnya.

​Beliau turut menyentuh isu nisbah anggota polis dengan penduduk yang kini berada pada kadar 1:356, serta keadaan aset PDRM yang semakin uzur di mana 32 peratus bot marin dan 41 peratus kereta peronda telah melebihi had usia penggunaan. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -