
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli telah turun padang menyalurkan sendiri bantuan kecemasan kepada para penduduk yang terjejas banjir di Kampung Kota Keran, Kayang, di sini hari ini.
Kawasan itu melibatkan 17 keluarga dengan keseluruhan 52 mangsa yang berdepan kekurangan bekalan asas selepas paras air meningkat sejak beberapa hari lalu.
“Perjalanan masuk ke kawasan ini agak mencabar kerana paras air yang tinggi dan arus kuat, ditambah pula dengan hujan yang tidak berhenti. Namun, Alhamdulillah, operasi bantuan tetap dapat diteruskan dengan selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, kehadiran pasukan penyelamat dan sukarelawan bersama kerajaan negeri disambut penuh rasa lega oleh penduduk yang memaklumkan ‘stok’ beras mereka telah habis.
Bagi meringankan beban mangsa, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan asas selain sumbangan makanan ‘travel pack’ daripada Yayasan Birrul Walidain bagi memastikan mereka mempunyai bekalan mencukupi sepanjang tempoh kecemasan.
“Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan tambahan disalurkan dari semasa ke semasa. Keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas akan terus menjadi keutamaan kami,” tegasnya.
Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut disertai isteri, Najwa Othman dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.
Selesai misi bantuan di Kampung Kota Keran, Menteri Besar bergerak ke lokasi kedua iaitu Kampung Titi Tok Bandar, di mana tujuh keluarga melibatkan lebih 30 penduduk berkumpul di sebuah rumah bagi menjamin keselamatan sementara menunggu keadaan pulih.
Pihak kerajaan telah menyalurkan bantuan awal dan kini sedang menilai keperluan tambahan bagi memastikan semua mangsa menerima sokongan mencukupi.
Mohd Shukri turut memohon agar rakyat mendoakan kelancaran operasi bantuan seterusnya.
“Doakan agar segala urusan bantuan berjalan lancar dan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara. InsyaAllah,” katanya.
Usaha berterusan itu menggambarkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap mangsa banjir, walau di kawasan paling sukar dicapai, tetap mendapat perhatian sewajarnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2025












