Bidas birokrasi ‘perlu mohon’ bantuan agih kepada rakyat

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran agar membuang budaya ‘winner take all’ dalam pentadbiran moden dan bersikap adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang, khususnya dalam isu pengagihan peruntukan dan bantuan kepada rakyat.

- Advertisement -

​Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) berkata, slogan reformasi, ketelusan dan keadilan yang sering dilaungkan kerajaan hari ini dilihat bercanggah dengan tindakan menafikan penyaluran terus peruntukan kotak makanan kepada Pusat Khidmat ADUN Pembangkang.

​Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak itu berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Perak pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

​Menurutnya, pada pentadbiran terdahulu, semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang menerima peruntukan 100 kotak makanan setiap bulan tanpa perlu memohon.

​“Dulu semua dapat, tak payah minta. Itu yang saya hendak jelaskan. Jadi, kita bercakap soal reformasi, ketelusan, keadilan untuk semua, tapi budaya ‘winner take all’ ini kita perlu hapuskan daripada pentadbiran zaman moden ini, insya-Allah,” katanya.

​Isu tersebut timbul apabila Razman mempersoalkan ketiadaan peruntukan kotak makanan kepada ADUN Pembangkang sejak pertukaran landskap politik kerajaan negeri, sedangkan bantuan itu amat diperlukan untuk diagihkan kepada asnaf dan mangsa musibah.

​Walaupun dicelah oleh penyokong kerajaan yang mendakwa pembangkang tidak dinafikan peruntukan sebaliknya ‘perlu memohon’, Razman menegaskan bahawa birokrasi tersebut tidak berlaku kepada wakil rakyat kerajaan.

​“Kenapa wakil rakyat DAP tak mohon pun, tapi dapat kotak makanan? Kenapa kami sampai tahap itu? Apa beza kami dengan mereka?” soalnya.

​Dalam perkembangan berkaitan bencana banjir, Razman turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Perak termasuk Bagan Serai, Batu Kurau, Selama, Larut, Bukit Gantang, Parit, Beruas dan Pasir Salak.

​Beliau menyarankan agar kerajaan negeri mewartakan kuarters-kuarters guru yang terbengkalai dan tidak digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal.

​“Sebagaimana yang kita tahu, banjir ini kerap berlaku berulang kali dan kebanyakan PPS ditempatkan di sekolah, yang menjadi kesulitan apabila musim persekolahan bermula.

​“Pemerhatian saya, banyak kawasan mempunyai kuarters guru yang terbengkalai. Jadi saya mencadangkan kerajaan negeri mewartakan kuarters ini sebagai pusat pemindahan kekal kerana ia berbentuk rumah dan lebih selesa berbanding dewan atau sekolah,” ujarnya.

​Razman turut merakamkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care dan Khidmat Malaysia serta agensi kerajaan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir tanpa mengira fahaman politik walaupun berdepan kekangan peralatan. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -