
IPOH: Kerajaan Negeri Perak didesak agar memandang serius isu kritikal pencemaran sungai di kawasan Gerik dan Lenggong, yang berpunca daripada operasi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan bijih timah di sekitar Sungai Rui.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, desakan itu dibuat susulan memorandum rasmi diterimanya daripada komuniti nelayan darat mewakili penduduk Kampung (Kg) Kuala Kenderong, Kg Perah, Kg Jagor, Kg Pulau Belayar dan Kg Air Ganda.
Menurut Razman, penduduk meluahkan keresahan mendalam berhubung pencemaran yang berlarutan sejak hampir tiga bulan lalu, mengakibatkan kerosakan ekosistem sungai dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Berdasarkan memorandum tersebut, Razman mendedahkan keadaan air sungai kini berubah warna, berbau luar biasa, serta mengalami peningkatan mendapan kelodak dan kesan efluen yang ketara.
“Laporan turut merekodkan kejadian kematian ikan, selain pengurangan drastik populasi udang serta hidupan sungai yang lain. Lebih membimbangkan, pendapatan nelayan terjejas teruk dengan hasil tangkapan merosot antara 40 hingga 70 peratus.
“Hal ini memaksa mereka bergerak ke lokasi lebih jauh untuk mencari rezeki, sekali gus meningkatkan kos operasi. Situasi ini bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi telah menjadi krisis kemanusiaan setempat kerana risiko kesihatan meningkat apabila sumber air sungai tidak lagi selamat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol menegaskan demikian dalam sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Razman turut mengambil maklum tindakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang menggantung operasi tiga syarikat perlombongan akibat pelbagai ketidakpatuhan.
Ujarnya, kesalahan yang dikesan termasuk pelepasan efluen tidak terkawal, kegagalan mematuhi Skim Pengendalian Melombong (SKSPM), serta isu hakisan dan sedimen.
“Namun, tindakan penggantungan semata-mata tidak memadai sekiranya kerosakan alam sekitar telah memberi impak buruk yang kekal terhadap kehidupan masyarakat dan punca rezeki nelayan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Razman menggesa Kerajaan Negeri Perak menubuhkan segera satu Jawatankuasa Khas Negeri yang melibatkan wakil nelayan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar serta agensi berkaitan.
Beliau turut menuntut pelaksanaan moratorium serta-merta dengan menangguhkan semua operasi perlombongan di kawasan terlibat sehingga satu audit bebas yang menyeluruh dijalankan.
“Kerajaan mesti menyediakan pelan pampasan khas, termasuk pampasan bulanan sementara kepada nelayan yang terjejas, bantuan peralatan, subsidi minyak dan dana pemulihan komuniti.
“Penguatkuasaan undang-undang juga mesti diperketatkan, termasuk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan enakmen berkaitan. Tindakan tegas perlu diambil jika terbukti wujud kecuaian industri.
“Penderitaan masyarakat nelayan di Gerik dan Lenggong tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kerosakan alam sekitar akibat perlombongan tidak terkawal mesti dihentikan segera sebelum menjadi lebih parah dan mustahil untuk dipulihkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/11/2025











