Belanjawan Perak stereotaip, masih harap hasil bumi

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran menilai semula kebergantungan kepada hasil tradisional dan memanfaatkan sumber unsur nadir bumi (REE) dengan telus yang mampu membolehkan rakyat menikmati pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti.

- Advertisement -

Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) berkata, Belanjawan Perak 2026 yang dibentangkan dilihat masih bersifat stereotaip dan tiada perubahan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

​Menurutnya, sumber hasil negeri masih berlegar dan bergantung kepada tanah, hutan, mineral serta cukai tradisional tanpa ada sumber baharu yang menyumbang kepada pendapatan negeri secara signifikan.

​“Sebagai negeri yang kaya dengan sumber bumi, Perak seharusnya tidak terperangkap dengan kitaran belanjawan stereotaip. Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kebergantungan kepada hasil tidak lestari dan mula membangun ekonomi nilai tambah.

​“Kita lihat negara jiran yang kecil di hujung Semenanjung, tiada sumber bumi tetapi tahap ekonomi dan kehidupan rakyatnya jauh lebih baik berbanding kita yang mempunyai pelbagai hasil bumi,” katanya.

​Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak itu berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

​Razman dalam ucapannya turut menarik perhatian Dewan mengenai potensi besar hasil REE yang dianggarkan mempunyai deposit sebanyak 1.7 juta tan di negeri ini dengan nilai komersial mencecah RM46 bilion.

​Jelas beliau, sekiranya hasil itu diurus dengan cekap dan telus, ia mampu menampung perbelanjaan mengurus negeri selama 46 tahun berdasarkan anggaran belanja mengurus sekitar RM1 bilion setahun.

​“Kalau kita dapat menjana hasil ini, bukan sahaja kita boleh janji macam Sarawak, saya boleh jamin anak-anak Perak boleh sekolah secara percuma daripada sekolah rendah sampai masuk universiti.

​“Malah kita boleh berikan subsidi beras kepada seluruh rakyat dan subsidi petroleum kepada anak Perak dengan hanya menunjukkan kad pengenalan,” ujarnya lagi.

​Bagaimanapun, Razman melahirkan kebimbangan mengenai ketelusan dalam pengurusan hasil REE, memandangkan unjuran pendapatan royalti REE bagi tahun 2026 hanya sekitar RM35 juta, jumlah yang disifatkannya terlalu kecil berbanding khazanah dimiliki.

​Tegasnya, rakyat Perak tidak mahu sejarah perlombongan bijih timah berulang, di mana kekayaan dipunggah keluar manakala rakyat hanya ditinggalkan dengan sisa lombong dan tanah jerlus.

​“Kami tak mahu negeri kita kaya, tapi rakyat miskin, hasil berlegar di kalangan orang-orang tertentu. Ini perjuangan kita bersama. Rakyat berhak tahu asas pengiraan royalti, adakah berasaskan harga bahan mentah atau barang siap?

​“Siapa yang menentukan harga ini? Kita mahu hasil negeri mencapai tahap maksimum, tiada ketirisan dan tiada ruang manipulasi,” tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

​Beliau turut mendesak kerajaan negeri menjelaskan kaedah pemberian konsesi perlombongan REE bagi memastikan ia tidak dimonopoli pihak tertentu dan benar-benar memberi pulangan kepada rakyat. – *HARAKAHDAILY 26/11/2025*

- Advertisement -