Jadikan Petagas hab sokongan pelancongan

Dr Afifi Saif bersama masyarakat Kampung Tebongan pada majlis ceramah kelompok.
- Advertisement -

PUTATAN: Dr Afifi Saif berkata, Petagas berada di satu kedudukan yang unik kerana berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

- Advertisement -

Ini, katanya secara tidak langsung mendapat limpahan ekonomi daripada pelancong, perniagaan dan trafik harian yang keluar masuk melalui pintu udara utama Sabah itu.

Menurut calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas itu, selama ini limpahan ekonomi tersebut lebih banyak tertumpu di sekitar lapangan terbang dan bandar raya.

“Bagi mengangkat agenda PETAGAS segmen ekonomi, peluang besar ini sepatutnya mengalir lebih jauh, sampai ke komuniti usahawan kecil mahupun syarikat besar yang berada di koridor pergerakan tersebut.

“Sudah tiba masanya rakyat Petagas sendiri menjadi penerima utama manfaat kesan limpahan ekonomi ini,” katanya dalam siri ceramah kelompok di UDM Ulu Putatan, semalam.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan yang baik ialah pembangunan yang dirasai oleh rakyat biasa, bukan sekadar angka dalam laporan.

“Pembaharuan kecil tetapi penting akan dilaksanakan seperti laluan pejalan kaki yang lebih selamat, lampu jalan yang terang, papan tanda pelancongan yang jelas, dan parkir yang tersusun, semuanya menyumbang kepada suasana yang menyambut pelawat dan pelancong dengan lebih kemas.

“Bila suasana baik, limpahan ekonomi lebih mudah mengalir,” ujarnya.

Baginya, pelancong dan pelawat yang bertambah membuka pintu kepada perniagaan kecil seperti makanan, homestay, servis sewa kenderaan, dobi, bengkel kecil dan pelbagai perkhidmatan harian.

Menurutnya, dengan sokongan latihan, dana kecil, dan ruang niaga yang teratur, anak Sabah boleh mengembangkan perniagaan berasaskan trafik dari KKIA.

Dalam masa sama, ujarnya dengan keunikan Petagas berhampiran sungai, pinggir Sungai Petagas boleh muncul sebagai hub sokongan penting kepada sektor pelancongan.

Katanya, pusat maklumat pelancong berskala kecil, kiosk komuniti dan perkhidmatan mikro mampu menjadikan Petagas lebih hidup dan bernilai.

Namun bagi Dr. Afifi, limpahan ekonomi bukan hanya soal wang tetapi mesti diterjemah kepada kualiti hidup yang lebih baik.

Beliau turut menekankan penambahbaikan taman komuniti, ruang riadah, laluan hijau dan program belia supaya pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan kesejahteraan sosial. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -