
KOTA KINABALU: PERIKATAN NASIONAL (PN) menawarkan transformasi ekonomi yang menyeluruh menerusi tunjang ‘Kasi Bagus Ekonomi Sabah’ dengan fokus utama menjamin bekalan makanan, mengurus kekayaan mineral baharu serta menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.
Bagi merealisasikan hasrat menjadikan Sabah sebagai hab pengeluaran makanan berkualiti, inisiatif ‘Lonjakan Agro Sabah’ akan digerakkan untuk memulihkan lebih 22,000 hektar kawasan sawah terbiar dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi dan automasi bagi menarik penglibatan pesawah muda.
Usaha ini turut disokong dengan penubuhan Koridor Ruminan Sabah serta Koridor Khas Koko dan Kopi Sabah (4KS), selain memperkasa industri hiliran sawit dan getah serta mewujudkan Zon Perikanan Bersepadu bagi memaksimumkan hasil laut dan akuakultur.
Dalam aspek pengurusan sumber asli, PN bertekad menjadikan industri mineral sebagai sumber kekayaan baharu menerusi pelan tindakan ‘Mineral Untuk Sabah Termaju’ (MUST) yang merangkumi penubuhan kementerian khusus untuk mengurus hasil mineral secara cekap.
Gabungan itu berjanji akan membentangkan Kertas Putih Industri Mineral Sabah bagi mendedahkan status sebenar pengurusan semasa termasuk pemberian konsesi, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang penyelewengan.
Demi memastikan nilai tambah ekonomi kekal di Sabah, dasar larangan eksport mineral mentah akan dikuatkuasakan dengan mewajibkan pemprosesan peringkat pertengahan dan hiliran dilakukan di dalam negeri melalui kerjasama strategik syarikat milik kerajaan (GLC) dan pakar antarabangsa.
PN turut memandang ke hadapan menerusi pelan ‘Sabah Transition to Renewable Opportunities and New Growth’ (STRONG) bagi melonjakkan potensi industri tenaga hijau seperti solar dan hidro mini, sekaligus menarik pelaburan bernilai tinggi.
Menyentuh berkaitan modal insan, inisiatif ‘Kerja Untuk Anak Tempatan Sabah’ (KUATS) dilancarkan dengan sasaran mewujudkan sekurang-kurangnya 80,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2030.
Di bawah inisiatif ini, syarat ketat akan dikenakan kepada syarikat swasta yang bekerjasama dengan GLC untuk mengambil sekurang-kurangnya 90 peratus pekerja anak Sabah bagi jawatan berkemahiran tinggi, selain memastikan penglibatan meluas anak tempatan dalam industri minyak dan gas.
Melengkapkan tawaran ekonomi tersebut, PN juga komited merancakkan pertumbuhan zon ekonomi baharu di sempadan Sabah-Kalimantan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat limpahan manfaat daripada pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara. – *HARAKAHDAILY 25/11/2025*











