10 tawaran KARAMBUNAI jelas, menyeluruh

CERIA...Datuk Dr Aliakbar Gulasan bersalaman dengan hadirin pada majlis walimatulurus di Wisma Wanita.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, tampil menggariskan 10 tawaran utama pembangunan yang dirumus melalui akronim KARAMBUNAI sebagai kompas masa depan kawasan itu sekiranya diberi mandat pada 29 November ini.

- Advertisement -

Beliau berkata tawaran tersebut lahir daripada persoalan rakyat yang ingin mengetahui hala tuju kepimpinan baharu bagi DUN Karambunai, justeru dijawab dengan perancangan jelas, menyeluruh dan bersifat rakyat-centric.

“Setiap tawaran dirangka dengan tekad agar setiap warga Karambunai merasai kemajuan, dihargai dan tidak ada yang tercicir,” katanya yang juga merupakan bekas ADUN Lantikan Sabah dalam PRN16.

Beliau berkata, tawaran berkenaan merupakan usaha awal meletakkan asas pembaharuan yang lebih tersusun demi kesejahteraan jangka panjang seluruh keluarga besar Karambunai.

“Saya percaya apabila kita semua berganding bahu masa depan Karambunai bukan sekadar lebih baik, tetapi jauh lebih gemilang,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Beliau menjelaskan, KARAMBUNAI bagi akronim tawaran itu sebagaimana di bawah.

K – Kerja Kuat Untuk Semua, beliau menawarkan penubuhan Tabung Kebajikan Rakyat DUN Karambunai, menjadikan kawasan itu sebagai hab pendidikan serta melaksanakan program latihan dan kemahiran rakyat bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi.

A – Akauntabiliti, Telus dan Bebas Skandal, beliau berikrar untuk membentangkan Laporan 100 Hari ADUN, laporan prestasi dwitahunan serta mengadakan sesi dialog rakyat setiap enam bulan bagi memastikan urus tadbir terbuka dan bertanggungjawab.

R – Rakyat Karambunai Diutamakan, Dr Aliakbar memperincikan cadangan menubuhkan Pusat Khidmat Bergerak, Suara Aduan Rakyat Digital, Pusat Kecemerlangan Akademik dan Program Keselamatan Komuniti untuk melindungi dan memperkasa masyarakat setempat.

A – Akses Kemudahan Diperluas menekankan perjuangan menaik taraf infrastruktur seperti jalan, lampu, air bersih, internet serta meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan jeti nelayan yang menjadi nadi ekonomi penduduk pesisir.

M – Maju Ekonomi Setempat, beliau menawarkan pembentukan Pasar Komuniti Utama untuk usahawan tempatan, program keusahawanan wanita, latihan digital, penjenamaan dan rangkaian pembeli bagi merancakkan ekonomi rumah tangga.

B – Belia dan Anak Muda Diper­kasa, beliau merangka program pembangunan belia, kerjasama NGO, penganjuran Liga Sukan Dwitahunan termasuk bola sepak, e-sport dan bola jaring serta program Mentor Akademik dan Kerjaya untuk masa depan generasi muda.

U – Upaya Semua Segmen Komuniti memfokus kepada sokongan ibu tunggal, ibu tinggal dan wanita bekerja melalui bengkel kemahiran kraf, digital mikro dan pemerkasaan ekonomi yang lebih inklusif.

N – Nilai Keluarga dan Keselamatan, beliau mencadangkan penubuhan skuad ALERT bagi tujuan keselamatan dan kecemasan serta program kemahiran kewangan dan kesejahteraan keluarga sebagai langkah memperkukuh institusi masyarakat.

A – Alam Sekitar Lestari pula menekankan usaha kelestarian dan ecotourism Karambunai, termasuk promosi Karambunai Tourism Wonders sebagai tarikan pelancongan yang memanfaatkan komuniti.

I – Inklusif Untuk Semua merangkumi program pemeriksaan kesihatan bergerak serta inisiatif budaya rentas kaum bagi memupuk perpaduan dan keharmonian antara penduduk pelbagai latar.

Dr Aliakbar menyifatkan 10 tawaran itu sebagai langkah pertama menuju perubahan besar yang dihasratkan untuk masa depan Karambunai dan menyeru rakyat memilih politik penyelesaian melalui PN.

“Insya-Allah, inilah langkah pertama menuju perubahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -