Dana khas, mentor digital perkasa PMKS Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: PERIKATAN NASIONAL (PN) menggariskan komitmen jitu untuk memperkasa sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini menerusi tunjang ‘Kasi Bagus PMKS Sabah’ yang merangkumi suntikan modal, pendigitalan dan jaringan keselamatan perniagaan.

- Advertisement -

​Antara inisiatif utama yang ditawarkan adalah program Mentor Digital Sabah (MDS) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, bertujuan melatih usahawan tempatan menguasai ekonomi digital.

​Program ini menyasarkan pemilihan 1,000 usahawan berjaya, termasuk daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), untuk bertindak sebagai mentor kepada 3,000 usahawan PMKS terpilih dengan menyediakan geran sokongan dan menetapkan sasaran peningkatan pendapatan yang jelas.

​Bagi sektor agromakanan, PN menawarkan inisiatif Mekanisasi dan Automasi Agromakanan Sabah (MAAS) yang juga diperuntukkan dana RM30 juta bagi pemberian geran pembelian mesin berteknologi tinggi dan pembungkusan automatik untuk melonjakkan produktiviti pengeluaran.

​Usaha ini akan disokong dengan penubuhan ‘Global Sabah Halal Hub’ (GSHH) yang berperanan membimbing PMKS memperoleh pensijilan halal Malaysia serta membantu promosi dan padanan perniagaan bagi menembusi pasaran eksport halal antarabangsa.

​Selain itu, gabungan tersebut berhasrat merancakkan ekonomi setempat dengan menaik taraf kemudahan di tapak-tapak penjaja seperti pasar tamu dan pasar malam, sekali gus mempromosikan keunikan produk tempatan kepada pelancong.

​Anak-anak Sabah juga bakal diberi keutamaan dalam sektor pelancongan air menerusi kemudahan mendapatkan lesen perniagaan sukan dan rekreasi air yang diuruskan secara cekap dan telus berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

​Mengambil kira risiko bencana yang sering melanda, PN turut mengumumkan penubuhan Dana Pulih Niaga Sabah (DPNS) berjumlah RM50 juta sebagai langkah proaktif membantu peniaga.

​Dana khas ini dikhususkan untuk membiayai kos penggantian peralatan perniagaan yang rosak akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, bagi memastikan golongan peniaga dapat memulihkan operasi mereka dengan kadar segera. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -