RM3 bilion ‘reset’ infrastruktur air, jalan dan elektrik

Tawaran PERIKATAN NASIONAL Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: PERIKATAN NASIONAL (PN) bertekad mengambil tindakan drastik menyelesaikan isu ketidakcekapan pengurusan infrastruktur asas di negeri ini menerusi pelaksanaan Pelan Reset Infrastruktur Negeri (PRIN) dengan peruntukan dana permulaan sebanyak RM3 bilion.

- Advertisement -

​Inisiatif besar ini digariskan bagi merevolusi pengurusan air, jalan raya dan bekalan elektrik di seluruh Sabah berpandukan data semasa serta hasil konsultasi pakar teknikal dan golongan profesional.

​Bagi menangani krisis air yang kritikal, PN mencadangkan penstrukturan semula organisasi yang bertanggungjawab mengurus sumber dan agihan air demi memastikan kelestariannya.

​Langkah pemulihan segera akan dilaksanakan menerusi projek sumber air alternatif menggunakan teknologi terkini, manakala penyelesaian jangka panjang merangkumi pembinaan empangan, loji rawatan dan penggantian paip usang yang dibuat secara telus melibatkan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

​Dalam aspek perhubungan jalan raya, sebuah pasukan tindak balas pantas atau ‘rapid response team’ akan ditubuhkan bagi membaiki kerosakan jalan kritikal dengan segera demi keselamatan pengguna.

​PN juga memberi jaminan bahawa peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk penyelenggaraan jalan termasuk di luar bandar, selain memudah cara urusan di bawah bidang kuasa negeri bagi memastikan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo siap mengikut jadual.

​Menyentuh isu bekalan elektrik, usaha memulihkan kapasiti tenaga akan dimulakan segera melalui penggunaan set penjana sewaan 90MW dan meninjau keperluan mengimport tenaga sementara dari Sarawak bagi menstabilkan rizab margin.

​Perancangan jangka panjang pula melibatkan pengukuhan grid Pantai Barat-Pantai Timur, pembinaan loji jana kuasa baharu dan mempelbagai sumber tenaga termasuk hidroelektrik dan tenaga hijau di bawah pelan ‘Sabah Transition to Renewable Opportunities and New Growth’ (STRONG).

​Selain keperluan asas, PN turut memberi tumpuan kepada masa depan ekonomi digital dengan menubuhkan Pihak Berkuasa Multimedia Sabah (PBM-SABAH) serta mewujudkan ‘Sabah Digital Village’ bagi merancakkan e-dagang.

​Sektor logistik juga bakal diperkasa menerusi Pelan Induk Pengangkutan ‘Road-to-Rail’ untuk mengurangkan kebergantungan kepada jalan raya, di samping menaik taraf lapangan terbang dan pelabuhan komersial di Kudat bagi menarik pelaburan asing.

​Bagi menangani bencana alam, PN memperuntukkan dana khas sebanyak RM500 juta untuk melaksanakan Tindakan Mitigasi Banjir (TMB) yang komprehensif, dengan tumpuan khusus kepada penstrukturan semula perancangan bandar di kawasan berisiko tinggi seperti Penampang dan Beaufort. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -